MOHD Fadzil memberi makan kepada kambing terselamat dalam banjir besar di kandang kambingnya. FOTO HASSAN OMAR.
MOHD Fadzil memberi makan kepada kambing terselamat dalam banjir besar di kandang kambingnya. FOTO HASSAN OMAR.
Hassan Omar


Masjid Tanah: Kehilangan 14 kambing akibat banjir besar, baru-baru ini, amat pedih untuk dihadapi seorang guru, tetapi kesedihan itu diubati dengan sabar dan reda.

Bukan mudah untuk menghadapi kenyataan apabila kerugian lebih RM10,000 akibat haiwan ternakan itu mati sekelip mata, namun takdir Allah tiada siapa mampu mengatasinya.

Mohd Fadzil Mohamad, 45, berkata banjir besar pada awal pagi 18 Disember lalu bukan setakat menyebabkan perabot kediamannya di Taman Wira Indah, Lubok Cina, dekat sini, rosak, malah menyebabkan haiwan ternakan itu mati.

"Pada 5.30 pagi hari kejadian itu, saya cuba menghampiri kandang kambing di Kampung Telok Berembang yang berhampiran taman ini, tetapi gagal kerana air naik hingga kira-kira 1.5 meter dan amat deras.

"Keadaan amat berbahaya untuk saya meredah air ke kandang, jadi saya meminta bantuan adik ipar, Mohd Asnizam Zainal, 37, yang tinggal berhampiran kandang kambing untuk cuba menyelamatkan kambing," katanya ketika ditemui di kandang kambing itu, hari ini.

Menurutnya, Asnizam meredah air sebelum memasukkan kambing ke dalam besen besar untuk dipindahkan seekor demi seekor ke kawasan tinggi.

Menurutnya, Asnizam menyelamatkan tujuh kambing dengan kaedah sama manakala baki 22 lagi terpaksa ditinggalkan dalam kandang kerana dia tidak mampu lagi meredah arus deras sedalam lebih 1 meter itu.

"Pada 6 petang hari sama, baharulah saya berjaya sampai ke kandang selepas air semakin surut hingga 0.3 meter.

"Hancur luluh hati saya apabila menemukan tujuh kambing yang sudah mati dan tujuh lagi hilang, dipercayai dibawa arus deras, manakala lapan lagi masih hidup," katanya yang bertugas di sebuah sekolah kebangsaan di Rembau, Negeri Sembilan.

Menurutnya, dia memelihara kambing sejak 10 tahun lalu untuk dipasarkan kepada penduduk sekitar Lubok Cina dan kambing dewasa berusia lebih dua tahun dipasarkan untuk aqiqah atau kenduri biasa pada harga antara RM700 hingga RM1,000 seekor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 1:32 PM