BERI makan kepada 10 lembu di ladang integrasi.
BERI makan kepada 10 lembu di ladang integrasi.
Hassan Omar


BANJIR besar pada Disember tahun lalu meninggalkan implikasi besar kepada usahawan tani di kawasan yang terjejas teruk di Selangor, Melaka, Pahang dan Johor.

Akibat kemusnahan kebun sayur-sayuran dan haiwan ruminan, mereka mengalami kerugian yang ada sesetengahnya mencecah hingga ratusan ribu ringgit

Timbalan Menteri I Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Datuk Seri Ahmad Hamzah dilaporkan berkata, kajian rambang Mafi mencatatkan kira-kira 5,500 peladang, penternak dan nelayan di seluruh negara yang dilabelkan sebagai 'Wira Agro' mengalami kerugian kira-kira RM69 juta.

Mafi menyediakan RM100 juta melalui Dana Bangkit Semula Keluarga Agro, selain Tabung Bencana melalui Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) sebanyak RM80 juta dan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) sebanyak RM12 juta, katanya.

Beliau berkata, di Melaka sahaja seramai 275 Wira Agro mengalami kerugian kira-kira RM2.83 juta akibat banjir.

Sehubungan itu beliau memberi jaminan sebaik sahaja kajian menyeluruh selesai, mereka yang terjejas akan diberikan sumbangan bagi memastikan pengeluaran bahan makanan negara tidak terjejas.

Seorang daripada ribuan usahawan tani terbabit ialah Zulkifli Othman, 55, yang mengusahakan ladang integrasi di kawasan seluas 1.6 hektar bagi penternakan kambing, lembu, itik pedaging dan telur, arnab pedaging dan hiasan, ayam kampung asli dan ikan keli.

ZULKIFLI memberi makan kambing yang terselamat daripada bencana banjir di ladangnya.
ZULKIFLI memberi makan kambing yang terselamat daripada bencana banjir di ladangnya.

Selain itu beliau turut mengusahakan penanaman cili padi melalui konsep fertigasi di ladang integrasinya di Kampung Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah, Melaka.

Hati mana yang tidak sayu melihat lebih 2,000 ayam kampung, 50 arnab dan 100 itik pedaging mati selain 1,200 polibeg (bekas semaian) cili padi dihanyutkan banjir?

Selain itu, 4,000 ikan keli dalam kolam juga terlepas keluar akibat banjir itu.

Zulkifli berkata, akibat kehilangan haiwan ternakan dan cili padi, beliau menganggarkan kerugian tidak kurang daripada RM100,000.

ZULKIFLI mengumpulkan cili padi dalam polibeg yang musnah akibat banjir.
ZULKIFLI mengumpulkan cili padi dalam polibeg yang musnah akibat banjir.

Menyorot kembali banjir yang menggerunkan itu, bekas pengurus kanan sebuah syarikat hartanah di Kuala Lumpur itu berkata, ketika air mulai naik, beliau dan dan dua pekerjanya mencuba untuk menyelamatkan haiwan ternakan, tetapi tidak berdaya apabila air sudah naik hingga paras dua meter.

"Saya melarang pekerja masuk ke reban arnab dan ayam kampung kerana bimbang keselamatan mereka serta tiada apa yang mampu kami lakukan selain menahan kesedihan.

"Hanya selepas air surut pada jam 9 pagi keesokannya, kami dapat masuk ke dalam kandang untuk mengutip bangkai ayam kampung dan arnab," katanya ketika ditemui di ladangnya baru-baru ini.

Tiada daya upaya mereka untuk menangkap semula 4,000 ikan keli yang sudah dihanyutkan jauh dari kolam dan begitu juga den

gan bekas semaian cili padi yang sudah hanyut dibawa arus deras.

Bagaimanapun, beliau tetap bersyukur kerana 40 kambing dan 10 lembunya terselamat kerana kandang haiwan itu berada di kawasan lebih tinggi berbanding reban ayam kampung, arnab dan itik serta kebun cili padi yang berada di kawasan rendah.

SEEKOR arnab hiasan yang terselamat daripada banjir.
SEEKOR arnab hiasan yang terselamat daripada banjir.

Zulkifli memulakan industri penternakan haiwan ruminan dengan membina kandang kambing sebelum mendapatkan seekor kambing jantan boer dan 16 kambing betina jumnapari pada hujung 2015.

Bermula daripada detik itu, beliau yang ketika itu masih berulang-alik dari Kuala Lumpur ke ladangnya memulakan pula penternakan ikan keli dan itik pedaging.

Selepas bersara beberapa tahun lalu, Zulkifli mengembangkan operasi dengan menternak 800 ayam kampung, lembu dan arnab.

"Selepas menjalani kursus penternakan arnab di Teluk Panglima Garang, Selangor saya memulakan penternakan 50 arnab pedaging dan hiasan," katanya.

Antara jenis arnab pedaging ialah 'New Zealand White' dan 'Chincilia' manakala arnab hiasan ialah 'Mini Rex,' 'Netherland Dwaf' dan 'Holland Loop.'

Lebih 50 arnab dalam sangkar di tingkat paling bawah terkorban akibat banjir dan yang terselamat ialah 20 arnab pedaging dan lima arnab hiasan.

Namun demikian, segala kepedihan itu diterimanya dengan penuh kesabaran dan reda kerana beliau memahami ujian Allah ada hikmah di sebaliknya.

"Alhamdulillah saya sudah beberapa kali menikmati hasil jualan dan banjir besar kali ini saya terima dengan reda walaupun terpaksa

menanggung kerugian," katanya.

Sehubungan itu, beliau amat berharap Mafi mampu menghulurkan sumbangan bagi membantunya membina semula industri itu kerana ia membabitkan modal yang besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 6:02 AM