HAFIZUDIN (kanan) dan Abdul Hakim menyelamatkan tiga kucing yang terperangkap di surau. FOTO Hasan Omar.
HAFIZUDIN (kanan) dan Abdul Hakim menyelamatkan tiga kucing yang terperangkap di surau. FOTO Hasan Omar.
Hassan Omar


Masjid Tanah: Dalam kesibukan membantu mangsa banjir memindahkan dokumen dan barangan berharga, dua remaja sempat menyelamatkan tiga kucing yang terperangkap di surau Kampung Telok Berembang, Lubok Cina, di sini, hari ini.

Remaja terbabit, Hafizudin Fahim Akmal Hashim, 17, berkata, dia dan rakan Abdul Hakim Johari sedang meronda di kawasan dinaiki air dengan tujuan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir, sebelum teringat tiga kucing di surau.

"Rumah kami tidak kena banjir dan kami pusing keliling kampung dengan motosikal untuk membantu orang lain.

"Tiba-tiba saya teringat ada tiga kucing di surau dan kami terpaksa meredah air setinggi kira-kira 1.3 meter sebelum tiba di surau untuk menyelamatkan kucing yang berlindung di atas almari," katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.

Sementara itu, mangsa banjir, Yusof Hassan, 70, berkata, sebaik sahaja kediamannya dinaiki air pada 4 pagi, dia mengarahkan anaknya, Mohd Reini, 45, menyelamatkan diri bersama-sama dua anaknya, Nurul Natasha Umaira, 14, dan Aras Naufal, 4.

"Saya tidak mahu cucu saya, Nurul terjatuh lagi ke dalam air seperti yang berlaku semasa banjir yang melanda kampung ini pada 21 Oktober lalu.

"Kejadian itu meninggalkan kesan hitam dalam hidup cucu saya dan saya tidak mahu ia berulang lagi awal pagi tadi," katanya.

Katanya, selepas Mohd Reini dan dua anaknya menyelamatkan diri, dia masih menunggu di kediamannya sehinggalah air naik hingga paras 1.5 meter pada jam 5 pagi, sebelum menyelamatkan motosikal roda tiganya.

Yusof berkata, dalam kejadian jam 4 pagi, 21 Oktober lalu Nurul hampir lemas selepas tenggelam dalam air setinggi kira-kira 1.5 meter yang deras di halaman kediamannya.

Ketika kejadian, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Cina itu menuruni tangga hadapan rumah tetapi terjatuh ke dalam air.

Nurul dihanyutkan arus deras sejauh kira-kira tiga meter tetapi amat bernasib baik kerana tersangkut pada tiang elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 4:26 PM