Kontraktor JPS membina semula tebing Sungai Rembau yang runtuh dan mengakibatkan banjir besar di Lubok Cina dekat Masjid Tanah pada 18 Disember lalu. Foto HASSAN OMAR
Kontraktor JPS membina semula tebing Sungai Rembau yang runtuh dan mengakibatkan banjir besar di Lubok Cina dekat Masjid Tanah pada 18 Disember lalu. Foto HASSAN OMAR
Hassan Omar


Masjid Tanah: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan kerja pembaikan tebing Sungai Rembau yang runtuh dan mengakibatkan banjir besar pada 18 Disember lalu.

Tebing sungai sepanjang 100 meter itu dibina semula kontraktor yang diberikan tanggungjawab oleh JPS bagi memastikan aliran sungai tidak menyebabkan banjir di beberapa kampung di sekitar Lubok Cina, dekat sini.

Pengarah JPS Melaka, Abdul Hakim Hamzah berkata, hujan lebat di hulu Sungai Rembau menyebabkan aliran sungai menjadi deras dan meruntuhkan tebing berkenaan pada jam 5 pagi, 18 Disember lalu.

"Akibat paras air naik mendadak dan arus terlalu deras, tebing sungai tidak dapat menampung kuantiti air, lalu runtuh.

"Aliran air yang deras masuk ke Kampung Telok Berembang dan menyebabkan kebanyakan kediaman penduduk dinaiki air lebih dua meter dan amat berbahaya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kerja pembinaan semula tebing sungai itu membabitkan kerja membina sangkar batu atau 'gabion,' sepanjang 100 meter.

Menurutnya, ia dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua bulan, sekali gus membantu mengelak banjir besar berulang lagi.

Sementara itu, mangsa banjir di Kampung Telok Berembang, Yusof Hassan, 72, berkata, dalam kejadian jam 5.30 pagi pada 18 Disember lalu, dia sempat menyelamatkan anak lelaki dan dua cucunya yang menghuni rumah berhampiran kediamannya.

"Saya mengejutkan mereka daripada tidur selepas mendapati air naik terlalu cepat dan berubah menjadi terlalu deras.

"Tidak pernah kami mengalami banjir seumpama itu dan kali terakhir banjir besar melanda kampung kami ialah pada 1971," katanya.

Dia berkata, selepas air beransur surut pada petang 19 Disember, penduduk dimaklumkan mengenai tebing Sungai Rembau sudah runtuh akibat aliran air deras.

Anaknya, Mohd Reni, 40, berkata dia terpaksa meredah air setinggi kira-kira 1.3 meter ketika keluar rumah untuk menyelamatkan diri bersama-sama bapa dan dua anaknya yang berusia tujuh dan 15 tahun.

Katanya, tindakan segera JPS membina semula tebing sungai memberi harapan kepada penduduk kampung banjir besar seumpama itu mampu dielakkan daripada berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 4:41 PM