Amir Abd Hamid

Gombak: Pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan untuk penggunaan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Lembah Klang seperti diumumkan dalam cadangan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat pada Oktober lalu, akan bermula 1 Januari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, My50 akan menggantikan pas perjalanan tanpa had My30 yang sebelum ini diperkenalkan kerajaan di bawah Skim Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau (Penjana) pada Jun tahun lalu.

"Tempoh promosi untuk My30 berakhir pada 31 Disember ini dan ia akan diganti dengan pas perjalanan RM50 (My50) sebulan sebagaimana diumumkan Menteri Kewangan dalam cadangan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lalu.

"Pengenalan pas perjalanan My50 ini adalah bukti bahawa kerajaan amat prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya dalam keadaan mencabar sekarang selaras dengan aspirasi 'Keluarga Malaysia'," katanya dalam sidang media mengumumkan pengenalan pas itu di Stesen LRT Gombak di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah serta Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi) Datin Norlia Noah.

Wee berkata, dengan pengenalan pas perjalanan My50 dan perkembangan baik berterusan Pelan Pemulihan Negara (PPN), pihak kementerian dan Prasarana yakin akan menyaksikan peningkatan dalam jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan kendalian Prasarana pada 2022.

"Secara keseluruhan untuk tahun ini, data sehingga 24 Disember 2021 menunjukkan purata jumlah penumpang harian yang dikendalikan oleh Prasarana adalah 462,246 penumpang.

"Purata jumlah penumpang untuk perkhidmatan rel adalah 324,517 penumpang sehari dan untuk bas yang meliputi perkhidmatan Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan adalah 137,729 penumpang.

WEE memperkenalkan My50 menggantikan Pas perjalanan tanpa had My30 yang diperkenalkan kerajaan. FOTO Rohanis Shukri.
WEE memperkenalkan My50 menggantikan Pas perjalanan tanpa had My30 yang diperkenalkan kerajaan. FOTO Rohanis Shukri.

"Sebelum penularan wabak Covid-19, Prasarana pernah mengendalikan sehingga 1.1 juta penumpang sehari iaitu pada 2019. Dengan keupayaan dan kapasiti yang dimilikinya, Prasarana mampu meningkatkan frekuensi tren dan bas kendaliannya andainya permintaan meningkat, sambil memastikan para penumpang terus menikmati perjalanan yang selesa, lancar dan selamat," katanya.

Beliau berkata, pas perjalanan My50 menawarkan perjalanan tanpa had untuk menggunakan semua perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana iaitu LRT, MRT, BRT, Monorel dan bas henti-henti Rapid KL serta bas perantara Jom Naik MRT dengan hanya membayar RM50 untuk tempoh penggunaan 30 hari berturut-turut.

Katanya, kemudahan pas perjalanan My50 turut disediakan di Pulau Pinang untuk penggunaan tanpa had perkhidmatan bas Rapid Penang di bawah label Pas Mutiara.

"Untuk Pulau Pinang, pas perjalanan akan dipanggil Pas Mutiara My50 dan boleh digunakan untuk bas henti-henti perkhidmatan Rapid Penang.

"Buat masa ini, kemudahan pas perjalanan ini belum dipanjangkan untuk Rapid Kuantan, yang juga adalah satu lagi rangkaian perkhidmatan bas henti-henti kendalian Prasarana," katanya.

Menurutnya, bagi menjayakan inisiatif pas perjalanan itu, kerajaan memperuntukkan RM115 juta sebagai pembayaran subsidi untuk menampung kos yang perlu ditanggung oleh Prasarana dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam berkelas dunia.

Beliau berkata, ia adalah pelaburan yang besar, tetapi amat penting kerana peranan dimainkan oleh sektor pengangkutan awam untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi negara.

"Seperti yang ditekankan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabru Yaakob ketika melancarkan Pas Keluarga Malaysia pada 22 November lalu, pengangkutan awam mempunyai peranan besar dalam menjayakan aspirasi Keluarga Malaysia dalam visi jangka panjang untuk memulihkan negara dengan konteks pendekatan kekeluargaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 3:09 PM