GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Projek infrastruktur utama jalan raya akan terus diperhebat dengan ketersambungan jaringan jalan yang baik memudahkan pergerakan rakyat di samping melancarkan aktiviti pedagang dan menjana ekonomi setempat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak akan siap sepenuhnya tahun depan.

Perdana Menteri itu berkata, sementara itu, proses tender bagi 19 pakej kerja untuk projek Pan Borneo Sabah Fasa 1b dengan jajaran 366 kilometer membabitkan kos RM15.7 bilion akan diselesaikan bulan November ini.

"Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dengan jajaran lebih 320 kilometer membabitkan kos hampir 7.4 bilion ringgit juga mula dilaksanakan penghujung tahun ini.

"Mengambil kira keperluan peningkatan kenderaan, projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam dengan kos 931 juta ringgit," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menurutnya, subsidi pengangkutan awam seperti bas, rel dan perkhidmatan udara akan terus disediakan untuk menjamin kesinambungan perkhidmatan

terbaik kepada rakyat.

"RM96 juta Dana Sokongan Bas Henti-henti disediakan bagi membantu menampung kos operasi harian pengendali bas henti henti yang perlu meneruskan perkhidmatan di laluan kurang penumpang di kawasan desa.

"RM150 juta juga diperuntukkan bagi meneruskan Program Transformasi Bas Henti-henti termasuk meluaskan manfaatnya ke tiga lokasi baharu iaitu Kota Bharu, Kuantan dan Kota Setar," katanya.

Anwar berkata, kerajaan akan terus memberi subsidi pengangkutan udara sebanyak RM209 juta untuk manfaat penduduk desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak.

"Kepada lebih 180,000 penduduk Lembah Klang yang menggunakan perkhidmatan bas dan rel Prasarana untuk ulang-alik mencari rezeki, manfaat pas bulanan My50 akan diteruskan.

"Kerajaan bersetuju untuk meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik," katanya.

Beliau berkata, pengekalan stesen-stesen ini dijangka melengkapi dan menambah baik jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang yang bakal memanfaatkan dua juta penduduk dengan kos sebanyak RM4.7 bilion.

"Anggaran awal, LRT Pulau Pinang ke Seberang Perai seperti yang dirancang kerajaan Negeri berjumlah R10 bilion menurut kaedah kerjasama awam-swasta (PPP).

"Bagi menyokong keperluan projek LRT3, Prasarana Malaysia Berhad bersetuju untuk memperoleh 150 bas elektrik dan membina tiga depoh bas dengan kos RM600 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 6:31 PM