GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Teluk Intan: Jumlah penumpang perkhidmatan bas Rapid di bawah kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dijangka meningkat 10 peratus setahun pada tahun depan berikutan pertambahan perkhidmatan itu di Pulau Pinang dan Kuantan, Pahang.

Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sejumlah 200,000 penumpang sehari direkodkan menggunakan perkhidmatan bas Rapid sebelum Covid-19 melanda negara ini, namun jumlah itu sedikit menurun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan berikutan pandemik.

"Kerajaan akan terus memberikan subsidi kepada penumpang-penumpang yang menggunakan perkhidmatan Prasarana ini menerusi inisiatif pas perjalanan tanpa had My30 yang dilaksanakan sejak Jun lalu sehingga Disember ini dan kalau perlu mungkin ia dapat diteruskan lagi," katanya.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Manik di Dewan Orang Ramai Parit 6A di sini, hari ini.

Beliau berkata, Prasarana sedia memperluaskan perkhidmatan bas di negeri lain sekiranya diminta oleh kerajaan, namun setakat ini tiada pemberitahuan diterima berhubung perkara itu.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam berkata, kerajaan akan meneruskan inisiatif pas perjalanan tanpa had My30 dan memperluaskannya ke Pulau Pinang dan Kuantan dengan peruntukan keseluruhan RM300 juta.

Tengku Zafrul berkata, program itu membabitkan empat perkhidmatan iaitu Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), KL Monorail dan bas Rapid KL yang dianggarkan memberi manfaat kepada lebih sejuta pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 4:20 PM