GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan mempercepatkan penggunaan pas perjalanan My30 ke Pulau Pinang dan Kuantan secepat mungkin selepas Kementerian Pengangkutan memperhalusi butiran pelaksanaannya.

Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, cadangan kerajaan memperluaskan pas perjalanan itu menerusi Belanjawan 2021 dijangka akan meningkatkan jumlah penumpang perkhidmatan di bawah kendalian Prasarana dan membantu meringankan beban perbelanjaan pengangkutan awam bagi penduduk di dua negeri terbabit.

"Pemanjangan pas perjalanan My30 menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam membantu rakyat Malaysia yang terkesan dengan penularan Covid-19.

"Prasarana berpendirian bahawa menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat Malaysia adalah langkah paling berkesan dalam meningkatkan produktiviti dan merangsang pertumbuhan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Pengguna Rapid Penang kini boleh menggunakan Pas Mutiara bagi perkhidmatan bas henti-henti dan feri Pulau Pinang tanpa had dengan pakej berjumlah RM50 sebulan.

Pengguna Rapid Kuantan pula menggunakan sistem pembayaran tunai serta kad MyRapid untuk urusan bukan tunai.

Rapid Penang hanya mencatatkan jumlah penumpang sebanyak 36,000 orang sehari berbanding 72,000 penumpang secara purata sebelum penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), manakala Rapid Kuantan pula merekodkan secara purata 3,300 penumpang sehari berbanding dengan 7,000 penumpang pada tahun lalu.

Inisiatif My30 adalah pas perjalanan tanpa had yang diperkenalkan dengan bayaran RM30 sebulan bagi pengangkutan rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), KL Monorail dan perkhidmatan bas Rapid di Lembah Klang yang berkuat kuasa pada 15 Jun tahun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu berkata, kerajaan akan meneruskan inisiatif pas perjalanan tanpa had My30 dan memperluaskannya ke Pulau Pinang serta Kuantan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM300 juta.

Program itu membabitkan empat perkhidmatan iaitu LRT, MRT, KL Monorail dan bas Rapid KL yang dianggarkan memberi manfaat kepada lebih sejuta pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 6:25 PM