MOHD Husaimi (nelakang, tiga kanan) bersama penerima anugerah kecemerlangan. FOTO Baharom Bakar
MOHD Husaimi (nelakang, tiga kanan) bersama penerima anugerah kecemerlangan. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Jertih: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut, yang mengharumkan nama negara di peringkat dunia apabila menjuarai Pertandingan Pameran Pendidikan Sains dan Teknologi Nuklear menerima insentif wang tunai RM3,500, hari ini.

Kejayaan SMK Kuala Besut dalam pertandingan anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada akhir bulan lalu menarik perhatian Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Pengerusi Ketengah Jaya Sdn Bhd, Mohd Husaimi Hussin berkata, kejayaan muncul juara dunia membuktikan kedudukan sekolah di luar bandar iaitu di perkampungan nelayan bukannya penghalang mencipta kecemerlangan.

"Kejayaan meletakkan nama sekolah di peta dunia membuktikan ketekunan dan kesabaran walaupun sekolah serta peserta menetap di perkampungan nelayan tidak boleh dipandang ringan.

"Dua pelajar Mohamad Zafran Zaidi, 17, dan Ainul Mardhiah Mohd Azmi, 17, membuktikan anak Malaysia mampu menggegarkan dunia yangg dihoskan di Vienna, Austria," katanya.

Beliau berkata demikian selepas memyerahkan insentif tunai melalui program Ketengah Ambik Cakne di Dewan SMK Kuala Besut, di sini.

Turut hadir adalah Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Abdul Muie Ngah dan Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Abdullah Zawawi Yahya.

Mohd Husaimi berkata, kejayaan SMK Kuala Besut menjuarai pertandingan di peringkat dunia perlu dicontohi dan dijadikan pencetus semangat kepada semua sekolah terutama di kawasan pedalaman.

Pada majlis itu, seramai 10 pelajar yang menerima Anugerah Tahap Emas Kementerian Belia dan Sukan dalam kategori Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) turut diraikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 12:17 PM