PELAJAR SMK Kuala Besut bersama guru-guru selepas dinobatkan juara Pertandingan Pendidikan Sains dan Teknologi Nuklear yang dihoskan di Vienna, Austria, petang semalam. FOTO Ihsan SMK Kuala Besut
PELAJAR SMK Kuala Besut bersama guru-guru selepas dinobatkan juara Pertandingan Pendidikan Sains dan Teknologi Nuklear yang dihoskan di Vienna, Austria, petang semalam. FOTO Ihsan SMK Kuala Besut
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Menetap di perkampungan nelayan di Kuala Besut dan belajar di sekolah harian biasa bukan penghalang buat dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut bergelar juara dunia.

Mohamad Zafran Zaidi, 17, dan Ainul Mardhiah Mohd Azmi, 17, membuktikan anak Malaysia mampu menggegarkan dunia apabila merangkul gelaran juara pada Pertandingan Pameran Pendidikan Sains dan Teknologi Nuklear secara maya anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dihoskan di Vienna, Austria, yang diumumkan petang semalam.

Lebih manis kejayaan dilakar pelajar sekolah berkenaan bukan kali pertama, sebaliknya kali kedua selepas kejayaan membanggakan diraih pada 2018 menerusi tajuk berjudul '100 Thing About Nuclear Science and Life'.

Dalam pertandingan bermula 19 hingga 25 November itu, dua pelajar Tingkatan Lima itu mempertaruhkan tajuk 'Nuclear Technology in Mushroom Industry' dalam pertandingan disertai pasukan dari seluruh dunia.

Ternyata tuah menjadi milik pasukan KuBest Innovation Team SMK Kuala Besut apabila menewaskan 10 peserta akhir terbaik dunia termasuk sebuah universiti di Filipina iaitu University of The East Caloocan.

Pengetua SMK Kuala Besut, Amran Ibrahim berkata, kejayaan pelajar itu adalah sesuatu yang luar biasa kerana mereka bukan berentap di peringkat Asia, tapi peringkat dunia yang sudah pastinya memerlukan kekuatan fizikal dan mental walaupun diadakan secara maya.

"Projek dihasilkan mereka bertujuan memberi kesedaran tinggi kepada masyarakat mengenai penggunaan teknologi nuklear dalam industri pemakanan.

"Ternyata kesungguhan dan kebolehan pelajar terbabit yang disokong guru dan ibu bapa serta syarikat SR Mushroom Industry membuahkan hasil apabila diiktiraf di peringkat dunia.

"Kejayaan ini diharapkan menjadi pemangkin bukan sahaja kepada pelajar sekolah ini, malah semua sekolah di negara ini," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Mohamad Zafran berkata, dia menyertai pertandingan itu dengan tekad memberikan kesedaran kepada masyarakat dunia mengenai kepentingan menggunakan teknologi nuklear dalam industri pemakanan.

Anak pengawal keselamatan itu berkata, walaupun negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak dapat bersemuka dengan rakan dan guru, ia tidak menghalangnya untuk berbakti kepada masyarakat dunia termasuk Malaysia.

"Ini saya mahu buktikan, Alhamdulillah sokongan padu daripada semua pihak termasuk keluarga, guru, pentadbir sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta kerja sepasukan, kami berjaya bergelar juara dunia.

"Kejayaan ini bukan milik kami berdua, tapi semua pelajar, guru dan seluruh rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran tinggi berkenaan penggunaan teknologi nuklear dalam industri pemakanan," katanya.

Bagi Ainul Mardhiah, dia berasa amat terkejut dan tidak menyangka videonya akan menang dan tersenarai dalam kedudukan tiga pasukan teratas peringkat dunia.

Katanya, semuanya berlaku terlalu pantas dan dia menyangka kerana bersaing dengan pasukan hebat dan jauh lebih fasih menggunakan bahasa Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 4:53 PM