Zatul Iffah Zolkiply


Besut: Polis belum memanggil pemilik akaun Facebook Imam Muda Kulan yang memuat naik hantaran mendakwa ajaran Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad cuba dihidupkan kembali oleh pihak tertentu di sekitar Besut.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya kini masih menjalankan siasatan terperinci daripada semua sudut sebelum sebarang tindakan diambil.

"Berkenaan (pemilik akaun) Imam Muda Kulan itu, kita akan tengok kita punya siasatan (dan) kalau perlu, kita akan panggil dia untuk mendapatkan keterangan lanjut.

"Setakat ini, kita mahu melihat daripada semua sudut (termasuk) apa tindakan yang kita perlu ambil," katanya yang ditemui selepas meninjau penempatan pemimpin ajaran sesat, Ayah Pin di Kampung Batu 13, Hulu Besut di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin.

Terdahulu, Muhammad Khalil bersama Mazli dan Mohd Husaimi meluangkan masa hampir 30 minit berbual bersama ahli keluarga Ayah Pin termasuk salah seorang isterinya, Jaharah Awang, 64.

Mazli berkata, pihaknya akan terus memantau semua ajaran yang menyimpang daripada ajaran sebenar Islam, supaya ia tidak mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam terutama di Terengganu.

Katanya, masyarakat juga dinasihatkan untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa jika mengetahui sesuatu yang mencurigakan

"Jangan gunakan media massa ini sehingga boleh mengganggu 3R (agama, raja dan kaum), yang boleh menyebabkan kegusaran, ganggu gugat, kerisauan dan akhirnya boleh menyebabkan ketenteraman awam itu terjejas.

"Saya juga meminta semua pihak supaya berhenti menggembar-gemburkan isu ini sebab kita di pihak undang-undang, kita akan membuat pemantauan dan sebagainya," katanya.

Terdahulu, sebuah hantaran di akaun Facebook 'Imam Muda Kulan' mendedahkan ajaran Ayah Pin cuba dihidupkan kembali oleh gerakan pihak-pihak tertentu di sekitar Besut.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan diwartakan haram pada 1997.

Pada April 2005, Pejabat Tanah Daerah Besut mengeluarkan notis merobohkan beberapa premis dan replika gergasi di markas Ayah Pin di perkampungan berkenaan

Pemimpin ajaran sesat itu, Ariffin Muhamad, 74, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Besut kerana sakit tua pada April 2016.


JAKIM, JHEAT diarah siasat dakwaan hidup semula ajaran Ayah Pin

Cubaan hidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin dalam perhatian Kerajaan

'Hanya majlis keraian, bukan hidupkan ajaran Ayah Pin'

Penduduk kampung terkejut heboh ajaran Ayah Pin cuba dihidupkan

Tiada usaha hidupkan kembali ajaran Ayah Pin - Polis

Denda, penjara jika amal ajaran sesat

Tiga ajaran sesat masih 'bernyawa'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 6:36 PM