LAWATAN Cakna Kasih 2.0 ke kediaman Tuan Loser Tuan Suring, 50an di Besut.
LAWATAN Cakna Kasih 2.0 ke kediaman Tuan Loser Tuan Suring, 50an di Besut.
Nurul Fatihah Sulaini


Seramai 200 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daerah Besut, Terengganu terpilih menyertai program Yayasan Petronas Empower ECER Akademik bertajuk Move The Heart & Cakna Kasih 2.0 dikendalikan Universiti Malaysia Terengganu (UMTJ Consultancy Services Sdn Bhd).

Program berkenaan membabitkan pelajar dari empat sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Peroi, SMK Putra, SMK Permaisuri Nur Zahirah serta SMK Kuala Besut.

Perasmian program itu disempurnakan Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Abdullah Zawawi Yahya di SMK Alor Peroi, Kuala Besut baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pusat Pemindahan Ilmu dan jaringan Industri UMT, Profesor Madya Ts Dr Amir Izzwan Zamri, Ketua Operasi (Pendidikan) Yayasan Petronas, Yu Shen Saw, Pengurus Bahagian Pembangunan Modal Insan Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Zurinawati Zainal Abidi serta Pegawai Eksekutif Pejabat ECERDC Wilayah Negeri Terengganu, Mustafa Emam Mokhter.

Pengarah Projek UMTJ UMT, Nik Sazali Nik Hussin berkata, pelajar yang dipilih adalah dari kalangan keluarga B40 dan sederhana pencapaian akademik.

"Hanya 50 orang pelajar sahaja yang dipilih bagi setiap sekolah untuk mengikuti program bagi membantu mereka lebih bersedia menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan meningkatkan prestasi akademik mereka.

"Antara aktiviti yang dilakukan sepanjang program bermula September lalu sehingga Oktober tahun depan termasuk kelas tuisyen lima subjek teras iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

"Prestasi akademik setiap pelajar ini akan dipantau sehingga mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi selepas SPM kelak," katanya.

Katanya, setiap pelajar mempunyai potensi untuk berjaya dan mengubah masa depan keluarga sekiranya berusaha gigih.

Peserta program, Hafizah Najibah Mohd Soroi pelajar tingkatan lima SMK Alor Peroi berkata, program itu dapat membantunya untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih lancar.

"Saya lemah dalam subjek teras matematik dan peluang mengikuti kelas tuisyen melalui program ini mampu membantu untuk menguasai subjek dengan lebih baik.

"Impian saya untuk mendapat sekurang-kurangnya 6A dan lulus cemerlang semua subjek dalam SPM nanti selain mengejar cita-cita bergelar usahawan tani moden yang hebat," katanya.

Bagi Elka Harisya Abdul Ghafar yang juga pelajar tingkatan lima SMK Alor Peroi, dia baharu sahaja kehilangan bapa yang meninggal dunia pada bulan lalu.

"Saya akan berusaha gigih untuk berjaya cemerlang dalam SPM seterusnya menyambung pelajaran bagi mencapai cita-cita menjadi guru," katanya.

Sementara itu, waris pelajar, Tuan Loser Tuan Suring, 50, bapa kepada sembilan cahaya mata berkata, program itu amat membantu golongan pendapatan rendah untuk menyediakan peluang pendidikan terbaik kepada anak-anak mereka.

"Saya sendiri tidak boleh bekerja selepas lumpuh sejak setahun lalu dan berharap anak-anak saya belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam hidup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 6:44 AM