Mohammad Ishak


TIGA pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut, Jertih, melakar sejarah apabila mereka dinobatkan sebagai juara peringkat dunia dalam pertandingan Program Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang berlangsung di Gyeongju, Korea Selatan, kelmarin.

Pelajar terbabit ialah Muhammad Syazwan Mat Sidik, 17 tahun, Muhammad Anuar Abd Ghani, 17 tahun dan Safiyyah Muhammad Nasir, 16 tahun pelajar sekolah harian biasa di perkampungan nelayan, Kuala Besut.

Menerusi pertandingan itu, Malaysia adalah antara lima negara yang layak ke peringkat akhir selain daripada Amerika Syarikat, Hungary, Jepun dan Korea Selatan.

Pasukan yang dikenali dengan nama ‘KuBest Innovation Team’ mula ditubuhkan pada Disember 2017 telah melalui tiga peringkat awal mengatasi 188 pasukan daripada 30 negara anggota IAEA.

Pasukan ini ditubuhkan di bawah Projek Unit Inovasi SMK Kuala Besut dan di ketuai oleh Faizul Abd Rahman, Ketua Bidang Sains Matematik SMK Kuala Besut, turut dibantu oleh Wan Zul Azri Wan Mod Shatar selaku Guru Penyelaras Projek, dan Rohaya Husin yang juga guru di sekolah berkenaan.

Pasukan ini juga mendapat kerjasama sepenuhnya dari Agensi Nuklear Malaysia dan dorongan dari Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu Tengku Zaihan Bin Che Ku Abd Rahman yang juga ADUN Kuala Besut.

Pengetuanya, Che Soh Che Mat berkata, menerusi pertandingan itu, pelajar menggunakan tajuk projek, 100 Things About Nuclear Science And Life.

Katanya, pasukan ini telah membeli tapak di Google Apps dengan memasang aplikasi NBEST untuk penyebaran maklumat yang mana seluruh dunia dapat memuat turun aplikasi berkenaan sebagai kesedaran tentang keperluan tenaga nuklear kepada masyarakat. Berkonsepkan “i-clear about nuclear”, masyarakat lebih memahami apa itu tenaga nuklear dan keperluan tenaga terbabit kepada kehidupan.

Beliau berkata melalui temubual panggilan telefon dengan ketua projek pasukan terbabit yang masih berada di Gyeongju, pasukan sekolah mampu bersaing dengan pasukan negara lain kerana hasil kerja keras dan kesungguhan semua tenaga pengajar dan pelajar.

Beliau berkata, pelajar terbabit telah berkunjung ke jabatan jabatan kerajaan, sekolah berprestasi tinggi serta kerjasama dari PIBG dan pembabitan komuniti setempat untuk mencungkil ilmu mengenai nuklear.

Katanya, kejayaan itu juga adalah dorongan kepada pelajar lain walaupun dari sekolah harian biasa luar bandar tetapi mampu mencipta kejutan di peringkat antarabangsa.

Che Soh berkata, pihak Kementerian Pendidikan akan menyambut kepulangan pelajar terbabit dari Korea Selatan yang dijangka tiba di KLIA2 pada 3.30 petang esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 11:35 AM
TENGKU Zaihan (tengah) bersama pelajar dan guru ketika menghantar tiga pelajar SMK Kuala Besut ke Korea di KLIA2. -Foto MOHAMAD ISHAK
TENGKU Zaihan (tengah) bersama pelajar dan guru ketika menghantar tiga pelajar SMK Kuala Besut ke Korea di KLIA2. -Foto MOHAMAD ISHAK