AINUL Mardhiah dan Mohamad Zafran berbincang dengan guru pembimbingnya, Yusarimi Md Yusuf.
AINUL Mardhiah dan Mohamad Zafran berbincang dengan guru pembimbingnya, Yusarimi Md Yusuf.
Malik Muhamad


MINAT mendalam terhadap bidang sains dan teknologi mendorong dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut, Terengganu, Mohamad Zafran Zaidi dan Ainul Mardhiah Mohd Azmi menyertai Pertandingan Pendidikan Sains dan Teknologi Nuklear anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang dihoskan di Vienna, Austria bermula pertengahan September lalu.

Ternyata percubaan pertama dua pelajar tingkatan lima itu membuahkan hasil yang bukan sahaja membanggakan sekolahnya, malah negeri itu dan negara apabila mencipta sejarah selepas dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan yang berlangsung mulai 17 September hingga 25 November lalu.

Lebih mengagumkan apabila dua pelajar daripada pasukan KuBest Innovation SMK Kuala Besut itu mempertaruhkan tajuk 'Nuclear Technology in Mushroom Industry' menewaskan peserta daripada University of The East Caloocan, Filipina yang turut tersenarai sepuluh pasukan terbaik dunia daripada ratusan penyetaan.

Ketika diminta mengulas mengenai kejayaan itu, Mohamad Zafran yang bercita-cita menjadi doktor pakar perubatan berkata, komitmen berterusan selain fokus dalam melakukan sesuatu perkara serta keinginan yang tinggi untuk memberi info kepada masyarakat dunia betapa pentingnya kesedaran menggunakan teknologi nuklear dalam industri pemakanan membuatkannya berazam untuk menyertai pertandingan pendidikan bertaraf dunia itu.

Anak pengawal keselamatan itu berkata, sebelum berjaya menyiapkan tugasan itu, sudah pasti pelbagai cabaran terpaksa dilalui termasuk ketika itu Malaysia berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19, sekali gus tidak dapat bersemuka dengan rakan-rakan dan guru-guru untuk berbincang secara lebih terperinci lagi.

Mohamad Zafran yang menetap di Kampung Alur Pisang, Kuala Besut berkata, hanya membuat penyertaan melalui dalam talian yang menjadi platform terbaik buat pasukannya sebelum berbincang dan berkongsi maklumat dengan guru serta mereka yang terbabit dalam misi untuk menyiapkan tugasan mengikut masa yang ditetapkan daripada penganjur.

Namun, anak kepada pasangan Che Zainuni Mohamad, seorang suri rumah dan Zaidi Mustapa@Deraman itu tidak menjadikan semua itu sebagai halangan untuk mencapai cita-cita murninya itu, sebaliknya ia adalah peluang terbaik untuk berbakti kepada masyarakat dunia lebih-lebih lagi ketika dia berada di tahun akhir di sekolah berkenaan.

"Sejujurnya saya seorang yang pendiam dan sangat susah untuk berinteraksi dengan orang lain, namun disebabkan minat dalam bidang itu saya tekad menyertainya, sekali gus menambah keyakinan diri.

"Namun, sebagai pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama tahun depan, sudah pasti pembahagian masa perlu dititik beratkan bagi memastikan saya tidak tercicir dalam pelajaran dalam kelas, Alhamdulillah walaupun terpaksa bersengkang mata dan sibuk dengan tugasan pertandingan itu serta 'kerja' hakiki saya sebagai pelajar, semua itu dapat diatur dan diuruskan dengan baik.

Dua wakil SMK Kuala Besut ungguli IAEA dihoskan di Vienna, Austria
Dua wakil SMK Kuala Besut ungguli IAEA dihoskan di Vienna, Austria

"Selepas diumumkan sebagai juara dunia, terus terang saya katakan tidak menduga apabila pasukan kami muncul juara kerana pasukan yang bertanding daripada seluruh dunia sudah pastinya hebat termasuk daripada kalangan penuntut universiti, sedangkan kami hanya pelajar kampung yang menetap di perkampungan nelayan.

"Namun kata orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu apabila kami daripada sekolah harian biasa dinobatkan sebagai pemenang, namun kejayaan ini tidak datang bergolek sebaliknya usaha keras daripada rakan-rakan dan guru serta pihak pentadbir sekolah yang banyak memberi idea, tunjuk ajar serta kata-kata semangat. Tanpa sentuhan ilmu mereka, tidak mungkin kami boleh diiktiraf sebagai juara dunia terutama kita tahu negara seperti Jepun, China, Thailand dan negara Eropah begitu hebat dalam dunia reka cipta," kata Mohamad Zafran.

AINUL Mardhiah dan Mohamad Zafran bergambar bersama guru pembimbing Yusarimi Md Yusuf.
AINUL Mardhiah dan Mohamad Zafran bergambar bersama guru pembimbing Yusarimi Md Yusuf.

Bagi Ainul Mardhiah pula yang bercita-cita menjadi guru mata pelajaran Sains, dia mengakui sikap tegasnya dan tetap dengan pendirian, tetapi peramah serta mudah bergaul membuatkan dia lebih mudah didekati rakan-rakan.

"Saya hanya pelajar biasa yang melalui hari-hari seperti pelajar lain juga. Pada mulanya saya tidak menyangka terpilih sebagai peserta pertandingan nuklear kerana berasa tidak layak berbanding rakan lain, namun berkat pertolongan daripada guru saya dapat mengilap bakat dalam diri saya.

"Sesungguhnya untuk bergelar juara kelas dunia bukan tugas mudah dan sekelip mata ataupun bergantung kepada nasib, tapi dengan kerja keras semua pihak serta doa yang tidak putus-putus daripada semua termasuk ibu bapa, rezeki berpihak kepada kami," kata anak pasangan guru, Mohd Azmi Mokhtar dan Alinah Awang yang meminati subjek Sains dan Matematik itu.

Bercakap mengenai proses untuk menyiapkan tugasan sebelum dihantar kepada penganjur, Ainul Mardhiah menyatakan pelbagai cabaran suka dan duka terpaksa diharungi bermula dengan perbincangan awal, kajian dan rakaman video bermula 15 Ogos lalu.

AINUL Mardhiah dan Mohamad Zafran bersama barisan guru pembimbing SMK Kuala Besut.
AINUL Mardhiah dan Mohamad Zafran bersama barisan guru pembimbing SMK Kuala Besut.

"Proses kajian dan rakaman video mengambil masa yang agak lama dan memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak untuk menghasilkan yang terbaik, Alhamdulillah kami berjaya menyiapkan dua video bertajuk 'Future Hope (Paddy Nuclear) dan 'Nuclear Technology in Mushroom Industry', pada 22 Oktober kami terpilih dalam kalangan sepuluh peserta terbaik dunia sebelum berentap pada 23 November lalu dengan 10 peserta terbaik dunia melalui dalam talian dengan soalan yang begitu mencabar sebelum kami diumumkan sebagai juara dunia pada 25 November lalu," kata anak sulung daripada empat adik beradik itu yang terpaksa berkorban membahagikan masa sebagai pelajar lebih-lebih lagi dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

Sementara itu, Ketua Unit Inovasi SMK Kuala Besut, Cikgu Yusarimi Md Yusuf berkata, kejayaan yang diraih itu bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan pengorbanan dan komitmen tinggi daripada semua terutama pelajar.

"Sebenarnya kejayaan ini bukan milik saya, Ainul Mardhiah dan Mohamad Zafran, tapi semua yang terbabit secara langsung dan tidak langsung, tanpa kerja keras daripada pasukan Inovasi Kubest dan sokongan yang mantap daripada pentadbiran sekolah serta semua warga SMK Kuala Besut, kita tidak dapat melangkah ke tahap ini.

"Cabaran yang terbesar ialah musim pandemik dan tempoh PKP, sekali gus membataskan perjumpaan serta pergerakan untuk melakukan kerja berkaitan bagi menyiapkan tugasan kerana kami perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Langkah pertama yang kami buat ialah mengadakan sesi perkongsian maklumat melalui dalam talian dengan pakar cendawan dan pakar padi daripada Agensi Nuklear Malaysia iaitu Pengarah Bahagian Agroteknologi dan Biosains, Dr Azhar Mohamad dan pegawai penyelidik, Dr Sobri Hussien untuk mendapat maklumat berkenaan projek kami, pelajar dan pasukan inovasi juga membuat kunjungan ke sawah padi dan perusahaan cendawan untuk perkongsian maklumat dan rakaman video.

"Jadi, di sini peranan guru pasukan inovasi termasuk Nik Ahmad Syahman Mohamed Juhan, Che Hasni Syahirah Che Hassan, Rohaya Hussin, Nor Azura Abd Rashid dan Mohd Faisal Mohd Zuki yang bekerja keras melatih kemahiran berkomunikasi dan menjawab soalan bagi memperkemaskan pengetahuan berkenaan teknologi nuklear serta membantu untuk persembahan dan pengucapan awam, Alhamdilillah usaha kami berbaloi selepas muncul juara dunia, terima kasih juga kepada guru kanan mata pelajaran Sains dan Matematik, Faizu Abd Rahman kerana memberi kepercayaan kepada kami," katanya.

Pengetuanya, Amran Ibrahim berkata, kejayaan yang dilakar pelajar sekolah bukan kali pertama, tetapi kali kedua bergelar juara dunia selepas kejayaan membanggakan diraih pada 2018 menerusi tajuk berjudul '100 Thing About Nuclear Science and Life,' kejayaan ini juga memahat nama sekolah harian biasa berusia 50 tahun itu di persada dunia selain membuktikan pelajar sekolah harian biasa juga mampu mengukir kejayaan di pentas antarabangsa.

"Walaupun pelajar berkenaan anak kampung, tapi mereka berjaya membuktikan kepada dunia mereka layak bergelar juara dunia. Ternyata kesungguhan dan kebolehan pelajar terbabit yang disokong guru dan ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) membuahkan hasil begitu membanggakan apabila diiktiraf di peringkat dunia.

"Kejayaan ini diharapkan menjadi pemangkin bukan sahaja kepada pelajar sekolah ini, malah semua pelajar di negara ini, tahniah buat pelajar, guru, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Pejabat Pendidikan Daerah Besut (PPD Besut), PIBG dan semua yang terbabit secara langsung ataupun tidak langsung membantu kejayaan yang begitu membanggakan ini," katanya.

Kejayaan yang dilakar dua pelajar SMK Kuala Besut turut mendapat perhatian daripada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang bangga dengan pencapaian cemerlang sehingga melakar sejarah muncul juara dunia dalam pertandingan itu.

"Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, sesiapa yang berusaha pasti akan menemui sebuah kejayaan, ini ungkapan yang saya kira sesuai boleh dilontarkan buat kedua-dua pelajar ini, kejayaan yang amat membanggakan negeri dan negara, syabas dan tahniah buat pelajar SMK Kuala Besut kerana merangkul juara pertandingan ini.

"Tahniah buat ibu bapa, guru-guru dan pihak sekolah yang menjadi penyumbang kecemerlangan mereka, diharap kejayaan ini menyuntik semangat kepada pelajar lain khususnya di negeri ini," kata Dr Ahmad Samsuri menerusi laman Instagramnya peribadinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 7:00 PM