Suraya Roslan


Kajang: Polis menumpaskan sindiket 'Geng Apil' yang bertindak memecah masuk rumah dan melarikan kenderaan mewah di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu dan Kelantan yang aktif sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, empat individu disyaki anggota sindiket berkenaan termasuk seorang wanita berjaya diberkas di sekitar Kajang pada 6 Disember lalu.

"Suspek utama berusia 34 tahun mempunyai 22 rekod jenayah, dia memecah masuk rumah mangsa bersama isterinya berusia 45 tahun dan dua lagi lelaki.

"Geng Apil yang kesemuanya berasal dari Pantai Timur ditangkap selepas kita menerima laporan pada 4 Disember lalu daripada mangsa berusia 34 tahun apabila rumahnya di Taman Hijau di sini dipecah masuk manakala kereta Toyota Alphard dan Yaris dilarikan penjenayah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.

Mohd Zaid berkata, dalam kejadian 8.44 pagi itu, pintu pagar automatik rumah mangsa dibuka menggunakan alat kawalan jauh sebelum pintu masuk utama diumpil dan melarikan barangan berharga mangsa termasuk dua kenderaan.

"Bertindak atas laporan mangsa, sepasukan polis dari Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Kajang berjaya menjejaki dan menahan empat suspek di beberapa kawasan sekitar Kajang.

"Hasil pemeriksaan lanjut polis juga berjaya merampas barang yang dicuri iaitu pelbagai anak kunci kenderaan termasuk alat kawalan jauh pintu pagar, enam telefon bimbit, sebuah komputer riba serta tujuh dokumen iaitu kad pengenalan, lesen memandu dan kad bank milik mangsa," katanya.

Katanya, hasil pandu arah salah seorang suspek berjaya membawa polis ke kawasan parkir kenderaan di pangsapuri Jubli Perak di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi Selangor sebelum menemukan dua kenderaan milik mangsa iaitu Toyota Yaris dan Alphard yang dicuri sebelum ini.

Kenderaan mewah yang dilarikan Geng Apil berjaya dirampas semula. FOTO Azhar Ramli
Kenderaan mewah yang dilarikan Geng Apil berjaya dirampas semula. FOTO Azhar Ramli

"Hasil soal siasat lanjut juga mendapati suspek mengaku terbabit dalam beberapa kejadian pecah rumah dan melarikan kenderaan di lima negeri awal tahun ini.

"Pemeriksaan lanjut dengan dipandu arah suspek, polis akhirnya berjaya menemukan semula lapan kenderaan curi iaitu Honda Civic, Range Rover, Toyota Vios, Camry, Nissan Almera dan Perodua Alza yang diletakkan di beberapa lokasi antaranya tepi jalan dan parkir kawasan perumahan," katanya.

Katanya, modus operandi sindiket itu dipercayai memecah masuk rumah mangsa dan melarikan kenderaan mewah berdasarkan permintaan pelanggan untuk membeli kenderaan curi.

"Apabila ada permintaan kereta mewah, sindiket ini akan memantau dan mensasarkan kenderaan sebelum memecah masuk rumah mangsa menggunakan alat kawalan jauh untuk membuka pintu pagar automatik. Suspek utama dipercayai dalang kumpulan ini yang dipercayai akan mengatur dan memilih mangsa sebelum melakukan kegiatan itu.

"Dia mempunyai rekod lampau membabitkan dadah dan jenayah manakala dua lagi rakannya masing-masing mempunyai tujuh dan 17 kes kecuali isteri suspek utama tidak mempunyai rekod," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 dan 379 Kanun Keseksaan dan direman sehingga 24 Disember ini.

"Dengan tertangkapnya sindiket ini, polis berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah dan melarikan kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 12:52 PM