MAZLAN (dua kanan), menunjukkan kereta yang dirampas di IPD Sentul. FOTO Saifullizan Tamadi
MAZLAN (dua kanan), menunjukkan kereta yang dirampas di IPD Sentul. FOTO Saifullizan Tamadi
Raja Noraina Raja Rahim

POLIS menumpaskan ‘Geng Wan Master’ didalangi 11 individu termasuk dua wanita yang terbabit kes curi kenderaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, siasatan dilakukan selepas polis menerima laporan kejadian pecah masuk premis jual kereta terpakai di Segambut, 12.53 tengah hari, 15 Februari lalu.

Katanya, enam kereta mewah pelbagai jenama dilarikan suspek menyebabkan pengusaha premis kerugian RM600,000.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis menjalankan operasi di Perak, Kuala Lumpur dan Selangor pada 22 hingga 29 Februari lalu.

“Seramai sembilan lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 41 tahun berjaya ditahan di beberapa lokasi berasingan.

“Polis turut merampas 10 kereta jenis Mercedes, Audi, BMW, Honda Civic dan Accord serta Proton Wira. Kereta itu digunakan suspek, diletakkan di parkir pusat beli-belah dan tepi jalan sekitar Kuala Lumpur sebelum dijual,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, semakan mendapati lima daripada kenderaan dirampas itu adalah yang dilarikan dari premis jual kereta terpakai berkenaan manakala selebihnya dilaporkan hilang di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Geng itu dikesan aktif sejak Disember tahun lalu. Modus operandi kumpulan itu dengan memecah masuk premis untuk mendapatkan kunci pendua sebelum menghubungi lima rakan lain untuk melarikan kereta,” katanya.

Katanya, polis percaya penahanan semua suspek itu berjaya menyelesaikan 12 kes kecurian kereta.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 kanun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 4:51 PM