Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kajang: Sekumpulan lima perompak 'geng ninja' mengambil kesempatan menyerbu sebuah rumah selepas mendapati pintu kediaman milik seorang kontraktor terbuka.

Dalam kejadian jam 8 malam kelmarin, lima penjenayah yang menutup muka dengan baju menyamun pemilik rumah di Taman Sri Jelok di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, kejadian berlaku ketika pembantu rumah mangsa keluar ke bahagian anjung rumah.

Menurutnya, penjenayah bersenjatakan parang yang seolah-olah menunggu di luar kediaman itu kemudian terus menyerbu masuk ke dalam rumah.

"Sebaik masuk ke ruang rumah kediaman, suspek yang menutup muka dengan baju mengarahkan penghuni rumah supaya tidak menjerit.

"Ketika kejadian, mangsa termasuk lima anaknya sedang berehat," katanya.

Menurutnya, suspek menyelongkar semua bilik sebelum melarikan pelbagai barangan berharga.

"Antara barang yang dilarikan ialah 12 jam tangan mewah, iPad, telefon bimbit dan wang tunai yang keseluruhannya bernilai hampir RM50,000," katanya.

Beliau berkata, dalam rompakan itu itu, semua ahli keluarga mangsa tidak dicederakan suspek.

Sementara itu dalam kes berasingan, dua penjenayah menggunakan taktik 'rempuh dan rompak' untuk melarikan kenderaan yang melalui kawasan Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK) di sini.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:03 AM