Mohamed Farid Noh


POLIS menumpaskan sindiket curi kereta mewah, Geng Yon Kuang, yang melarikan lebih lima kereta mewah pelbagai jenama bernilai lebih RM800,000 dalam masa hanya tiga minit di beberapa kawasan di sekitar Batu Pahat, sejak bulan lalu.

Tindakan licik sindiket berkenaan yang menggunakan peralatan canggih berteknologi tinggi bagi melarikan kereta mewah termasuk yang berada di dalam pekarangan rumah dengan pintu pagar automatik itu tumpas apabila semua tujuh ahli sindiket termasuk dua wanita ditahan dalam beberapa siri tangkapan termasuk semalam.

Dalam rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa, anggota sindiket berkenaan dilihat hanya mengambil masa kurang tiga minit melarikan kereta mewah mangsa termasuk melumpuhkan sistem pagar automatik di rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim, berkata semua tujuh suspek termasuk dua wanita yang dipercayai anggota sindiket berkenaan ditahan polis mulai bulan lalu dan yang terakhir semalam.

Beliau berkata, semua suspek berusia antara 24 hingga 38 tahun itu sedang direman bagi siasatan lanjut.

“Kami percaya sindiket curi kereta mewah ini aktif mencuri kereta mewah termasuk di Batu Pahat, Johor Bahru dan Petaling Jaya sejak awal tahun lalu.

“Sindiket ini menyasarkan kereta mewah yang menggunakan sistem butang ‘push start’ malah polis berjaya merampas peranti godam, immobilizer kod automatik kereta mewah, peralatan penebuk, alat cetak nombor pendaftaran kereta, alat pembuat cukai jalan selain dua mesin pencetak.

“Polis turut merampas semula lima kenderaan mewah termasuk Toyata Vellfire, Toyota Fortuna, Honda CR-V, Honda HR-V dan Honda Accord yang semuanya bernilai RM800,000.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini menjual kereta yang dicuri dengan harga hanya 10 peratus daripada harga sebenar kenderaan berkenaan bagi memudahkan urusan, sekali gus menyasar kereta mewah yang lain selepas ia berjaya dijual, ” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, hari ini.

Azhan berkata, semua suspek yang direman disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kereta yang membawa hukuman penjara tujuh tahun maksimum dan denda jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, siasatan mendapati sebahagian suspek mempunyai rekod lampau mencuri kenderaan mewah dengan ada kes yang sedang dibicarakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 3:57 PM
AZHAN (dua dari kanan) menunjukkan kereta mewah berjaya dirampas daripada kumpulan suspek pada sidang sidang media di IPD Batu Pahat, hari ini. FOTO Mohamed Farid Noh.
AZHAN (dua dari kanan) menunjukkan kereta mewah berjaya dirampas daripada kumpulan suspek pada sidang sidang media di IPD Batu Pahat, hari ini. FOTO Mohamed Farid Noh.