ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa lemas di Kampung Sawa. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa lemas di Kampung Sawa. FOTO ihsan bomba
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Gerik: Mayat pekerja pembinaan jambatan di Kampung Sawa, di sini, yang dilaporkan hilang selepas mandi di Sungai Perak, dijumpai pagi ini.

Mayat Nabil Haikal Nazarrudin, 21, dijumpai terapung oleh orang awam jam 8.41 pagi kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa bersama rakannya mandi di sungai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong, Farizul Anuar Razali berkata, berdasarkan maklumat diperoleh daripada rakan lelaki itu, mangsa yang bekerja membina jambatan di lokasi berkenaan mandi sebelum didapati hilang.

"Operasi mencari mangsa dijalankan sebelum mayatnya dijumpai jam 8.41 pagi. Mayat dihanyutkan arus kira-kira tiga kilometer dari lokasi kali terakhir dia dilihat.

"Anggota membawa mayat naik ke tebing dan diserahkan kepada polis untuk tindakan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat disertai 16 pegawai dan anggota BBP Gerik dan Lenggong dibantu enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuala Kangsar selepas menerima panggilan kecemasan jam 5.44 petang kelmarin.

Katanya, operasi mencari mangsa turut mendapat kerjasama polis, Rela dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan operasi ditamatkan jam 10 pagi.

Kelmarin, media melaporkan mangsa dikhuatiri lemas ketika bermandi-manda di Sungai Perak bersama rakannya dekat lokasi jambatan yang sedang dibina itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 12:04 PM