Anggota bomba mengangkat mayat lelaki yang ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Jambatan Sungai Sabak Bernam berhampiran Kampung Seri Perkasa, Hutan Melintang di Bagan Datuk. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba mengangkat mayat lelaki yang ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Jambatan Sungai Sabak Bernam berhampiran Kampung Seri Perkasa, Hutan Melintang di Bagan Datuk. FOTO IHSAN BOMBA
Noor Hidayah Tanzizi


Bagan Datuk: Lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke sungai di Jambatan Sungai Sabak Bernam, berhampiran Kampung Seri Perkasa, Hutan Melintang di sini, hari ini.

Mayat T Sreetharan, 45, dijumpai dalam keadaan terapung pada jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi dia terjatuh, jam 10.50 pagi semalam.

Difahamkan, keluarga mangsa membuat laporan polis semalam, selepas menjumpai selipar milik mangsa di atas jambatan kira-kira jam 2 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang Zulkaflee Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 8.10 pagi dan sepasukan anggota dikerah ke lokasi.

"Kami menemui mayat mangsa sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) itu tamat jam 1.05 tengah hari," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Kamarudin Mat Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 4:45 PM