LELAKI dipercayai kemurungan diberi rawatan kecemasan. FOTO ihsan bomba
LELAKI dipercayai kemurungan diberi rawatan kecemasan. FOTO ihsan bomba
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Gerik: Tindakan pantas anggota bomba menyelamatkan seorang lelaki yang dipercayai mengalami kemurungan daripada lemas selepas dia terjun ke sungai di Kampung Rancangan Plang Kerunai, di sini, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, lelaki berusia 41 tahun itu pada mulanya dikhuatiri lemas sebelum dijumpai anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Kerunai bersama orang awam yang turut serta dalam operasi.

Katanya, panggilan berhubung kejadian diterima jam 8.55 malam sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik digerakkan ke lokasi.

Beliau berkata, mangsa dijumpai kira-kira 50 meter dari tempat dia dipercayai jatuh.

"Mangsa selamat. Anggota bomba kemudiannya membuat perawatan awal apabila dia didapati dalam keadaan lemah, sebelum dihantar ke Hospital Gerik untuk tindakan selanjutnya.

"Mangsa dipercayai dalam keadaan kemurungan," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) ditemukan lemas selepas dipercayai terjun ke Sungai Perak di jeti berhampiran sebuah resort di Sayong Tebing, Kuala Kangsar, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mayat mangsa berusia 10 tahun ditemukan kira-kira 300 meter dari jeti terbabit.

Beliau berkata, maklumat awal yang diterima oleh bilik gerakan kira-kira 7.15 pagi semalam memaklumkan mangsa yang juga OKU hilang disyaki terjun ke sungai.

Katanya, bagaimanapun pada 8.15 pagi, maklumat diterima mengatakan mangsa dijumpai dalam keadaan sudah tidak bernyawa oleh orang awam, tidak jauh daripada jeti berkenaan.

"Mayat dijumpai tersangkut di celahan rumput oleh orang kampung dan dibawa naik ke daratan. "Pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada kesan kecederaan fizikal," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 12:49 AM