Jasad  Abdul Wahab Mat Sulaiman, yang terjatuh dari tingkat lima air terjun ketika menyelenggara saluran paip Taman Rekreasi Lata Tembakah, Sungai Tenang, Besut, Terengganu di sini, Khamis lalu, akhirnya ditemukan pagi hari ini. FOTO APM
Jasad Abdul Wahab Mat Sulaiman, yang terjatuh dari tingkat lima air terjun ketika menyelenggara saluran paip Taman Rekreasi Lata Tembakah, Sungai Tenang, Besut, Terengganu di sini, Khamis lalu, akhirnya ditemukan pagi hari ini. FOTO APM
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Selepas lebih 60 jam, jasad Abdul Wahab Mat Sulaiman yang terjatuh dari tingkat lima air terjun ketika menyelenggara saluran paip Taman Rekreasi Lata Tembakah, Sungai Tenang, di sini, Khamis lalu, ditemukan kira-kira 8 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata,mayat mangsa ditemukan di celah batu dalam air tingkat tiga air terjun di hutan lipur itu.

"Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pasukan penyelamat bomba membuat tinjauan di sekitar tempat kejadian sejak 7.40 pagi tadi bermula dari tingkat satu hingga lima sebelum menemukan mayat mangsa di tingkat tiga.

"Siasatan awal ke atas mangsa mendapati terdapatkesan-kesan kecederaan ke atas tubuh badan mangsa," katanya.

Rozak berkata, operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan sejak Khamis lalu disertai polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Rela serta jabatan Hutan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Muhammad Tarmimi Che Musa berkata, mangsa dijumpai pasukan penyelamat kira-kira 700 meter dari lokasi terjatuh.

"Antara cabaran utama dilalui sepanjang operasi mencari mangsa sejak tiga hari lalu arus sungai deras menyukarkan kerja-kerja menjejaki mangsa lemas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Besut, Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid berkata, beberapa barang milik peribadi mangsa seperti baju dijumpai di tingkat tiga serta sarung golok dijumpai di tingkat dua pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Bagaimanapun, pagi ini, kita berjaya menemui mayat mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 10:11 AM