Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengkaji cadangan untuk mewujudkan jawatan warden sepenuh masa bagi sekolah berasrama dalam menangani pelbagai isu termasuk kes buli.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pihaknya mengambil maklum dengan pelbagai cadangan yang dikemukakan oleh beberapa pihak susulan daripada kes buli terbabit.

"Kita berterima kasih dengan semua cadangan dan pandangan yang diberikan.

"Jadi, pihak kementerian akan membuat kajian dengan pandangan (jawatan warden sepenuh masa) yang dikemukakan itu," katanya ketika hadir pada majlis di sebuah restoran, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan pelbagai pihak meminta kerajaan mewujudkan jawatan warden sepenuh masa susulan insiden buli, baru-baru ini.

Dr Mah berkata, pihaknya ketika ini sedang menunggu laporan berhubung beberapa kes buli termasuk insiden di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuala Kangsar, baru-baru ini.

"Tentang kes buli ini, saya rasa kita akan tunggu laporan daripada pihak yang berkenaan sebelum apa-apa tindakan diambil," katanya.

Dr Mah Hang Soon berucap ketika hadir pada sebuah majlis di restoran di Jalan Raja Permaisuri Bainun. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Dr Mah Hang Soon berucap ketika hadir pada sebuah majlis di restoran di Jalan Raja Permaisuri Bainun. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Beliau turut ditanya kemungkinan KPM bertemu Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) atau Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi membincangkan isu buli berkenaan.

"Pada peringkat ini, paling baik adalah kita menunggu laporan yang terperinci daripada pihak berkenaan.

"Jadi, apa-apa tindakan (termasuk perbincangan) kenalah berpandu kepada apa sebenarnya yang berlaku," katanya.

Katanya, pihaknya ketika ini sedang menunggu laporan berhubung satu lagi kes buli membabitkan empat pelajar di sebuah sekolah berasrama di Pahang.

"Ini juga kita perlu tunggu laporan daripada pihak yang berkenaan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan NUTP meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempertimbangkan secara serius perjawatan warden bagi sekolah berasrama penuh (SBP) dan asrama harian untuk menangani masalah yang sering timbul, termasuk kes buli.

Setakat semalam, seramai 10 individu termasuk pelajar sudah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden buli di MRSM Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 5:40 PM