Oleh Neelofa

Assalamualaikum semua, harap semua pembaca dalam keadaan kesihatan terbaik. Alhamdulillah, Lofa sihat seperti biasa.

Sibuk? Siapa dalam dunia ini tak sibuk dengan urusan kehidupan seharian. Yang penting, bagaimana kita menguruskan masa supaya kita dapat memanfaatkan 24 jam yang kita miliki dengan sebaik-baiknya.

Minggu ini Lofa terpanggil untuk menulis mengenai sesuatu perkara yang 'menjentik' naluri keprihatinan kita rakyat semua. Isu buli! Lepas satu kejadian, timbul pula kejadian lain. Yang tak seronoknya, kejadian buli terjadi pula di asrama sekolah.

Sebagai bekas pelajar yang membesar di asrama, rasanya elok sangat Lofa kongsi pengalaman dan melalui perspektif Lofa.

Tak dinafikan, budaya buli memang wujud dalam kalangan pelajar sekolah, terutama di asrama. Buli memang ada! Namun tidak seteruk yang disangka. Rakan Lofa pun pernah melalui insiden kecil buli, tapi alhamdulillah mereka ambil ia sebagai pengalaman.

Namun harus diingatkan awal-awal lagi, pendirian Lofa ialah membuli satu tindakan tidak matang dan tidak bertanggungjawab. Lofa menentang amalan membuli, terutama membabitkan kekasaran fizikal.

Bagi Lofa, buli pada mulanya muncul sekadar hiburan dalam kalangan pelajar asrama yang tersekat aktivitinya dengan dunia luar. Apabila duduk di asrama, komunikasi kita mungkin sedikit terbatas, sekurang-kurangnya pada zaman Lofa.

Zaman sekarang dengan kecanggihan teknologi, rasanya pelajar mungkin lebih terbuka untuk berhubung dengan dunia luar. Zaman Lofa bersekolah asrama, nak tengok televisyen pun sukar. Sebahagian besar masa kami banyak diperutukkan untuk mengulangkaji.

Biasalah, bila terlampau stress ulangkaji, mula timbul pelbagai idea nakal nak kenakan pelajar lain. Semuanya sekadar suka-suka. Gurauan seorang rakan, senior kepada junior. Yang jadi tak seronok apabila mereka terlalu terbawa-bawa perasaan seronok nak buli.

Lofa ingat lagi pengalaman rakan sekelas sewaktu zaman awal bersekolah asrama. Pernah beberapa kali mereka, terutama lelaki, 'dibuli' pelajar senior lain.

Ada yang buli minta belikan makanan, basuhkan baju dan kemaskan bilik, tapi pada waktu itu mereka turutkan saja kata mereka. Lama-kelamaan, mereka tidak 'membuli' tetapi bertukar menjadi kawan lagi. Kata mereka, ia sebahagian daripada cara mereka untuk mengenali junior yang baru masuk. Macam ujianlah kononnya.

Kiranya pengalaman rakan Lofa dibuli tidak seteruk yang Lofa dengar. Mungkin sebab kami semua perempuan. Nak lebih-lebih, takut tak tertanggung kudrat, nanti jadi perkara lain pula.

Lofa ingat lagi seorang senior Lofa yang sangat garang di MRSM dulu. Kalau boleh, semua benda nak dimarahnya. Jangan salah sangka, bukan marah yang melulu, membabi buta.

Senior Lofa itu akan marah jika kami lambat ke surau, tak pakai stoking dan lambat untuk ke 'prep'. Kiranya, watak senior Lofa itu macam 'emak' kalau di rumah.

Alhamdulillah, semuanya atas tujuan kebaikan. Kalau boleh, Lofa nak jumpa kembali senior Lofa itu dan nak ucap terima kasih kepadanya. Terhutang budi sangat.

Tidak bagi pelajar lelaki. Lofa dengar budaya 'ragging' di asrama lelaki lebih mencabar. Ada yang kena 'tiup lampu' sampai padam, ada yang kena basuhkan kasut senior dan ada juga yang kena berdiri dalam hujan sehingga berhenti.

Bila Lofa tanya kenapa mereka tak lawan kembali? Jawapan rakan lelaki sekelas dengan Lofa semuanya positif. Kata mereka, perkara sebegini akan mematangkan mereka.

Lagi pun, 'buli' yang mereka kena semuanya berunsurkan jenaka. Selagi tiada tindakan fizikal, mereka cuba bertahan. Jika melampui batasan, warden asrama perlu dimaklumkan.

Lain pula jadinya dengan pelajar zaman sekarang. Mungkin banyak sangat terdedah dengan pelbagai anasir luar, mereka kini tidak tahu batasan dalam 'melawak' hinggalah terjadinya kes buli.

Lofa marah dan malu dengan apa yang terjadi. Lofa sifatkan mereka yang suka membuli sebagai orang yang ada masalah psikologi. Kenapa? Bagi Lofa, mereka yang suka membuli sebenarnya lemah mentalnya. Sebagai menafikan kekurangan diri, mereka merasakan membuli ialah cara terbaik untuk menyembunyikan kekurangan diri.

Boleh juga dikatakan pembuli lahirnya dari institusi keluarga itu sendiri. Ibu dan bapa perlu memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi anak mereka.

Sedari kecil, ibu bapa perlu tekankan apa yang boleh dan tidak boleh dalam hidup bermasyarakat. Kawal pergaulan dan aktiviti sosial anak anda. Jangan hanya lepaskan semuanya ke atas guru. Pendidikan sebenar bermula di rumah!

Wahai pembuli, apa yang anda dapat dengan membuli, mengasari orang lain? Kepuasan? Sampai bila? Ingat, jika hari ini anda membuli orang dan tiada tindakan dikenakan, mana tahu karma akan kembali mengigit anda.

Jika tidak terkena kepada anda, mungkin anak cucu anda akan mendapat balasan hasil daripada tindakan anda. Lebih mengeruhkan keadaan, ada kejadian buli membabitkan kemalangan jiwa.

Bayangkan betapa hancur luluhnya hati seorang ibu melihat anak kesayangannya bertarung nyawa akibat tindakan tidak bermoral kaki buli.

Buli bukan perkara yang boleh diambil mudah. Buli bukan gaya hidup yang 'cool', jika itu yang anda bayangkan.

Alhamdulillah, khabarnya pembuli yang videonya tersebar di laman sosial sudah dikenal pasti. Lofa nak ucapkan terima kasih kepada pihak bertanggungjawab dan rakyat Malaysia khususnya, yang bertungkus lumus mengembleng tenaga bagi menangani masalah ini.

Ini menunjukkan rakyat Malaysia sangat menentang aktiviti keganasan seperti buli. Apa tindakan sepatutnya perlu dikenakan kepada mereka yang bersalah dengan aktiviti buli?

Bagi Lofa, cara terbaik ialah dengan pemberian khidmat kaunseling berterusan. Pembuli dalam kalangan pelajar sekolah sebenarnya masih muda dan boleh diselamatkan. Insya-Allah, dengan panduan dan motivasi yang betul, mereka boleh dilentur semula.

Lagipun, semua orang pasti mengharapkan peluang kedua, bukan? Apabila dapat peluang kedua, jangan disalahgunakan pula nanti.

Sebelum Lofa akhiri Nota Neelofa minggu ini, sekali lagi Lofa nak tekankan yang Lofa sangat menentang aktiviti buli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 2:42 AM