Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Lazim hadir Perhimpunan Khas Kontinjen Perak di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Lazim hadir Perhimpunan Khas Kontinjen Perak di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim menegaskan polis melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) sentiasa bersiap siaga memantau perjalanan pelajar bagi membendung pelbagai kes pelajar termasuk buli.

Menurutnya, peranan PPS perlu dimanfaat sebaik mungkin untuk kesejahteraan sekolah.

"Pengetua, guru besar atau warden boleh berbincang dengan PPS ini. Penempatan PPS di setiap sekolah ini adalah bagi memastikan maklumat dapat di salurkan dengan segera.

"Kalau kita lihat daripada kejadian buli terbabit memang perlunya maklumat awal itu disalurkan kepada pihak polis dan sekolah. Jadi, kita memang ada memperuntukkan seorang PPS setiap sekolah, malahan ada sekolah besar kita letak lebih daripada seorang," katanya pada sidang media selepas hadir Perhimpunan Khas Kontinjen Perak di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Semalam, media melaporkan, sepuluh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikenal pasti terbabit kes buli yang tular di media sosial, baru-baru ini ditamatkan pengajian berkuat kuasa hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 2:20 PM