GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Hamzah Nordin


Kuala Lumpur: Isu warden asrama sekolah yang berlanjutan lebih sedekad wajar dinokhtahkan dengan melantik perjawatan baharu warden asrama demi memantapkan pentadbiran asrama sekolah dalam pencegahan berlaku kejadian buli.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Juhari Mohamad Noor berkata, pendekatan melantik dalam kalangan guru sebagai warden asrama yang diamalkan selama ini tidak menyelesaikan masalah isu buli di asrama.

Katanya, walaupun peruntukan elaun warden memang ada dan dibayar kepada guru yang menggalas tugas itu tetapi masih tidak menyelesaikan masalah.

"Guru yang dilantik sebagai warden asrama menanggung tanggungjawab berganda dengan tugas hakiki sebagai guru dan selepas waktu sekolah sebagai warden asrama pastinya mendatangkan 'kekalutan' menjalankan tugas.

"Pihak pentadbir sekolah juga sukar untuk melantik atau mendapatkan seorang warden asrama dalam kalangan guru kerana hampir keseluruhan guru menolak tugas diberi," katanya, hari ini.

Juhari berkata, ada guru yang dilantik terpaksa rela apabila diminta pihak pentadbir mengalas tugas itu.

Sementara itu, mantan Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Datuk Jemale Paiman berkata, isu pelantikan warden bukan dalam kalangan guru sudah lama dibincangkan dan masih belum ada jalan penyelesaian.

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sewajarnya melantik warden asrama bukan dalam kalangan guru yang dilatih khas di bawah bumbung KPM.

"Warden ini dilantik dan dilatih dengan aspek disiplin kepolisian termasuk kemahiran berkawad, ikhtiar hidup (survival skills), kaunseling remaja sekolah, pentadbiran, dasar dan pekeliling yang membabitkan disiplin KPM," katanya.

Katanya, pusat latihan itu boleh menggunakan fasiliti Institut Pendidikan Guru (IPG) dan bekerjasama pusat latihan polis atau tentera.

"Ini akan membantu mengurangkan beban tugas guru yang dilantik sebagai warden dan boleh memberi tumpuan khusus kepada proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah," katanya.

Semalam, KPM memaklumkan sedang mengkaji ekosistem sekolah secara keseluruhan sebelum membuat keputusan mewujudkan jawatan warden asrama bukan dalam kalangan guru.

Menterinya, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, pihaknya sebelum itu sudah mendengar beberapa pandangan yang dikemuka berhubung isu itu dalam mengurangkan beban tugas dihadapi guru, di samping mengatasi kes buli di asrama sekolah.

Ketika ini, seramai kira-kira 10,000 guru ditugaskan sebagai warden di 1,874 sekolah berasrama di bawah KPM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 1:06 PM