FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Sebatan tak cukup buat pembuli

Kuala Lumpur: "Saya hanya mengharapkan hukuman setimpal dikenakan (terhadap pembuli) kerana anak masih mahu bersekolah di situ dan dia akan bertemu dengan pelajar senior terbabit."

Begitu kata ibu mangsa yang mahu keadilan buat anaknya berusia 16 tahun yang didakwa menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak pada 24 September lalu.

Wanita terbabit yang enggan dikenali berkata, pihaknya tiada niat menularkan kejadian kerana dalam hantaran di platform media sosial itu tiada disertakan nama sekolah dan hanya menceritakan apa yang berlaku.

Menurutnya, dia juga sudah bertemu dengan pihak sekolah, wakil Kementerian Pendidikan (KPM) serta polis bagi mengambil tindakan lanjut dan turut mempersetujuinya.

"Bagaimanapun, selepas dua minggu kami tidak menerima apa-apa berita lalu saya menghubungi pihak sekolah sebelum dimaklumkan keluarga (pembuli) terbabit ada mengambil peguam dan sedang menyiapkan pembelaan.

"Kami terima alasan itu dan berharap pihak sekolah membuat yang terbaik demi keselamatan anak saya.

"Malah, kami juga sudah bertemu dengan keluarga pembuli terbabit dan mereka juga bersetuju untuk mengemukakan cadangan apa yang akan dikenakan kepada anak mereka seperti dipersetujui," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, keputusan yang diterima mengecewakan mereka kerana pelajar terbabit tidak dibuang sekolah, sebaliknya hanya dikenakan hukuman sebatan antara dua hingga tiga kali dan menjalankan khidmat komuniti.

"Malah, pelajar terbabit juga masih tidak dilucutkan jawatan di sekolah dan kami sendiri tidak tahu sama ada hukuman itu sudah dilaksanakan atau belum," katanya.

Katanya, keadaan anaknya beransur pulih dan mahu meneruskan pembelajarannya di sekolah berkenaan kerana sudah belajar sejak tingkatan satu selain turut aktif sukan.

"Cuma, saya agak terkilan apabila Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu mengeluarkan kenyataan sehingga mendedahkan nama kami, sedangkan saya tidak mendedahkan nama sekolah dan sebagainya," katanya.

Menceritakan semula kejadian menimpa anaknya, wanita terbabit berkata, semua pelajar Tingkatan Empat diarahkan berkumpul dengan memakai kasut sekolah oleh pelajar senior di satu kawasn kira-kira jam 12 tengah malam pada hari kejadian.

Menurutnya, sebaik berkumpul, beberapa pelajar termasuk anaknya kemudian dipanggil ke depan sebelum dia dirempuh sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan di bahagian kemaluan.

"Ketika itulah anak saya dibuli sehingga terjatuh dan mengerang kesakitan sebelum diangkat pelajar lain untuk dibawa semula ke asrama.

"Saya hanya mengetahui kejadian sekitar jam 3 pagi apabila warden menghubungi suami untuk meminta kebenaran menghantar anak ke Hospital Kuala Kangsar," katanya.

Menurutnya, tidak lama kemudian pihak hospital menghubungi dan memaklumkan anaknya mengalami kecederaan serius dan perlu dipindahkan ke Hospital Taiping.

"Ketika itu saya masih belum mengetahui kejadian sebenar, malah anak juga tidak menceritakan apa yang berlaku, namun selepas ditanya doktor barulah terbongkar bahawa dia dibuli.

"Malah, bukan kami yang membuat laporan polis, sebaliknya doktor yang merawat anaknya yang tampil membuat laporan itu," katanya.

Sementara itu, pengurusan sekolah terbabit ketika dihubungi Harian Metro enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara terbabit.

'Sudah tiba masa buli dikategorikan sebagai jenayah berat'

Kes raging atau buli tidak boleh dipandang remeh kerana ia memberikan kesan negatif secara fizikal, psikologi dan emosi terhadap mangsa buli, malah ia adalah satu perbuatan jenayah.

Data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan (KPM) juga merekodkan 4,994 kes buli dari Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia, Wan Azlina Wan Adnan berkata, paling terbaru tular kejadian buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak yang kini dalam siasatan polis.

Menurutnya, kes buli ini bukan perkara baru dan budaya ini dalam kalangan pelajar terutama di sekolah berasrama penuh sudah di tahap merisaukan.

"Budaya membuli yang bermula dari konsep raging kini sudah mencapai tahap menyebabkan mangsa-mangsa buli mengalami kecederaan teruk, kecacatan fizikal, trauma dan kematian.

"Raging oleh pelajar senior ke atas junior adalah salah satu penyumbang kes buli khususnya di asrama penuh," katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau yang juga Ketua Gerakan Pengubalan Akta Anti Buli berkata, pelajar senior beranggapan mereka mempunyai kuasa untuk mendakwa pelajar junior atas kesalahan yang didakwa dilakukan.

Menurutnya, mereka ini juga menjadi 'hakim' untuk membuat keputusan dan juga menjadi pelaksana hukuman yang berbentuk fizikal, mental dan emosi ke atas 'mangsa' terbabit.

"Senior merasakan mereka seolah-olah mempunyai justifikasi untuk mengajar pelajar-pelajar lain melalui kekerasan.

"Tradisi ini diturunkan dan diwarisi daripada satu kemasukan ke kemasukan berikutnya. Itulah kitaran budaya buli di sekolah," katanya.

Katanya, kes buli tidak boleh dipandang remeh kerana ia memberikan kesan negatif terhadap mangsa secara fizikal, psikologi dan emosi.

"Semua pihak harus sedar bahawa kejadian buli adalah suatu jenayah yang boleh merosakkan mangsa buli sehingga ada yang meragut nyawa.

"Oleh itu, buli tidak lagi seharusnya dilihat hanya sekadar masalah disiplin, tetapi jenayah 'berat' yang semakin berleluasa," katanya.

Katanya, sudah tiba masanya untuk Malaysia menggubal satu undang-undang khusus untuk mencegah dan menangani kes-kes buli terutama di sekolah-sekolah.

"Sehingga kini masih belum ada peruntukan khusus yang boleh memberikan definisi dan tafsiran yang lengkap dan menyeluruh tentang apa yang boleh dianggap sebagai perbuatan buli.

"Walaupun Malaysia mempunyai kanun keseksaan dan pelbagai peraturan, panduan seperti Ordinan Pelajaran, 1957, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 serta pekeliling yang berkaitan, namun satu undang-undang anti buli yang khusus diperlukan untuk menambah baik dan menguatkan undang-undang sedia ada," katanya.

Katanya, bagi menghapuskan budaya buli di sekolah, ia memerlukan kerjasama semua pihak iaitu pentadbir sekolah, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Kementerian Pendidikan Malaysia, polis dan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 12:01 PM