AHMAD Saidi (lima kiri berdiri) bersama 32 penerima bantuan mahasiswa DUN Kuala Kurau. FOTO Shaiful Sharin Ahmad Pauzi
AHMAD Saidi (lima kiri berdiri) bersama 32 penerima bantuan mahasiswa DUN Kuala Kurau. FOTO Shaiful Sharin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


Parit Buntar: Kerajaan negeri menunggu keputusan siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung laporan enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar yang dilaporkan positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan itu dan meminta Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Jabatan Pendidikan Negeri Perak dengan kerjasama MRSM terbabit untuk menjalankan siasatan terperinci.

Menurutnya, sekiranya disahkan ada kes Covid-19 berlaku di lokasi itu, kita serahkan kepada KKM untuk tindakan lanjut bagi memastikan sekolah serta pelajar di asrama bebas dari Covid-19.

"Namun dari lawatan dan kunjungan sebelum ini bagi melihat dan memantau Prosedur Operasi Standard (SOP) norma baru di sekolah-sekolah di Perak, kita sangat berpuas hati dengan tahap kepatuhan SOP," katanya ditemui media selepas program Penyerahan Bantuan Mahasiswa Perak 2.0 Peringkat DUN Kuala Kurau, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau,Datuk Abdul Yunus Jamhari. Dalam program itu seramai 32 pelajar menerima sumbangan yang disampaikan Ahmad Saidi.

Katanya, kerajaan negeri juga akan membuat penambahan kuota penerima bantuan dari 2,000 mahasiswa di Perak kepada 4,000 penerima dalam masa terdekat ini.

Terdahulu media melaporkan enam pelajar Tingkatan Lima MRSM Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar dilaporkan positif Covid-19.

Perkara itu disahkan Pengetua MRSM Sultan Azlan Shah dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin, ketika dihubungi media mengesahkan perkara itu.

Menurutnya ringkas, kes pelajar berkenaan termasuk di bawah kluster Jalan Kuala Kangsar, Gerik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 2:57 PM