RAKAMAN video yang tular memaparkan pelajar di MRSM dibuli rakan asrama. FOTO tular
RAKAMAN video yang tular memaparkan pelajar di MRSM dibuli rakan asrama. FOTO tular
BERNAMA

Kuala Kangsar: Polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung satu kes buli membabitkan 10 pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaakob berkata, kertas siasatan kes itu sudah dilengkapkan pada 17 Disember dan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Perak untuk tindakan seterusnya dua hari lalu.

"Kes membabitkan 10 pelajar MRSM Kuala Kangsar ini sudah selesai disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jadi sekarang ia di bawah (tindakan lanjut) pihak Pendakwa Raya," katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah Kangsar di sini, hari ini.

Beberapa media sebelum ini melaporkan polis sudah mengambil keterangan sembilan pelajar berusia 13 tahun dan seorang 15 tahun yang dipercayai terbabit dalam satu kes buli.

Ia susulan penularan video berdurasi 10 saat di media sosial yang memaparkan seorang pelajar dikepung rakannya di dalam bilik asrama dengan mangsa ditumbuk di bahagian perut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 12:47 PM