TANGKAP layar daripada video tular yang menunjukkan pelajar mengepung dan menumbuk mangsa.
TANGKAP layar daripada video tular yang menunjukkan pelajar mengepung dan menumbuk mangsa.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Sepuluh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikenal pasti terbabit kes buli yang tular di media sosial, baru-baru ini ditamatkan pengajian berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, penamatan pengajian mereka diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) selepas meneliti kes itu.

Katanya, Mara memandang serius kegiatan buli yang berlaku dan hukuman yang diputuskan itu sebagai menunjukkan ketegasan pihaknya yang tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku demikian di bawah mana-mana institusi pendidikan Mara dan tajaannya.

"Keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM.

"Ibu bapa pelajar berkenaan sudah dimaklumkan mengenai keputusan dibuat jawatankuasa," katany dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Azhar berkata, keputusan itu juga bukan sahaja pengajaran kepada pelajar terlibat, tetapi wajar dijadikan contoh kepada pelajar lain agar tidak melakukan perkara sama.

Menurutnya, Mara sentiasa mahu melahirkan modal insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan dan pada masa sama mempunyai sahsiah diri serta tingkah laku peribadi yang baik agar diterima masyarakat.

"Mara sentiasa komited dalam menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) melalui penguatkuasaan peraturan sekolah, selain pemantauan berterusan aktiviti pelajar," katanya.

Kejadian buli dipercayai berlaku di MRSM Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar tular di media sosial baru-baru ini yang membabitkan pelajar Tingkatan 1 berusia 13 tahun.

Berita berkaitan

Tegur rakan tonton video lucah punca kejadian buli [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 4:41 PM