ANTARA gambar yang dimuat naik di Facebook SMTDR Lenggong di Lenggong yang mengumumkan empat warga sekolah itu positif Covid-19. Foto Facebook SMTDR Lenggong
ANTARA gambar yang dimuat naik di Facebook SMTDR Lenggong di Lenggong yang mengumumkan empat warga sekolah itu positif Covid-19. Foto Facebook SMTDR Lenggong
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sebuah lagi sekolah di Perak dikenal pasti dilanda jangkitan Covid-19.

Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Lenggong di Lenggong menerusi Facebook, semalam mendedahkan jangkitan Covid-19 berlaku dalam kalangan empat warga sekolah itu pada 23 November.

Untuk rekod, institusi pendidikan di Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah beroperasi semula pada 22 November lalu susulan peralihan fasa PPN bagi Kedah, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah.

SMTDR Lenggong turut memaklumkan, susulan jangkitan itu sekolah berkenaan ditutup pada 23 November lalu.

Menerusi keterangan yang tertera pada sekeping gambar yang dimuatnaik itu, difahamkan kesemua warga sekolah berkenaan diarahkn menjalani kuarantin apabila dikesan sebagai kontak rapat.

"Justeru, kami ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas segala bentuk bantuan yang diberikan," kata hantaran itu.

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata, setakat Sabtu lalu, dua sekolah di Perak disahkan pihaknya merekodkan jangkitan Covid-19 iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar serta sebuah sekolah agama di Bagan Datuk.

Bagaimanapun katanya, jangkitan di dua sekolah berkenaan tidak sampai menyebabkan kedua-dua sekolah itu ditutup sebaliknya hanya membabitkan kuarantin terhadap warga sekolah berkenaan di asrama yang berasingan dengan pelajar lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 2:21 PM