AHMAD Saidi Mohamad Daud. FOTO Bernama
AHMAD Saidi Mohamad Daud. FOTO Bernama
BERNAMA

Ipoh: Kerajaan Perak merancang mengadakan taklimat pengenalan antara pelajar, guru dan warden asrama sebelum sesi persekolahan bermula supaya kes buli tidak berulang di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, sesi tersebut memerlukan kerjasama semua pihak supaya dapat dilaksanakan dengan jayanya.

"Pihak pejabat saya mewakili kerajaan Perak telah mengadakan sesi libat urus bersama Jabatan Pendidikan Negeri bagi kita melihat pematuhan prosedur operasi standard yang ada.

"Kita cuba pastikan kalau boleh, sebelum masuk (sesi persekolahan), akan ada beberapa sesi pengenalan supaya kes buli berlaku sebelum ini tidak berulang di masa akan datang," katanya ketika menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini, hari ini.

Beliau menjawab celahan Jamilah Zakaria (BN-Trong) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri atau pihak berwajib akan mengadakan sesi taklimat kepada pelajar supaya tidak takut untuk melaporkan kes buli di sekolah selain taklimat mempertahankan diri.

Dilapor, polis menahan 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di negeri ini ekoran kejadian buli membabitkan seorang pelajar lelaki tingkatan satu yang tular menerusi beberapa klip video di media sosial.

Mengenai guru antivaksin di Perak, Ahmad Saidi berkata sejumlah 99.13 peratus guru di negeri itu telah menerima vaksin Covid-19 manakala bakinya belum divaksin kerana sejarah kesihatan, alahan, sakit kronik, mengandung dan merancang kehamilan.

"Guru-guru yang belum divaksin ini diasingkan daripada murid atau guru lain di sekolah, malah tidak dibenarkan bersemuka kecuali mengadakan sesi pembelajaran secara dalam talian," katanya.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan memaklumkan hingga 8 November lalu, 37,069 guru di negeri itu divaksin manakala 369 orang masih belum menerima vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 3:13 PM