Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengemaskini polisi lawatan untuk penjaga dan pelawat di hospital selari dengan perkembangan Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ini bertujuan untuk mengurangkan risiko penularan Covid-19 di hospital serta memutuskan rantaian jangkitan wabak secara berterusan.

"Ia penting bagi melindungi pesakit, pelawat dan petugas kesihatan daripada jangkitan Covid-19 serta memastikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berterusan.

"Hanya beberapa kategori pesakit boleh ditemani oleh penjaga atau melawat pesakit, iaitu pesakit yang menghidap penyakit kritikal; pesakit yang memerlukan penjagaan palliatif; pesakit yang tenat (end of life); pesakit kurang upaya; pesakit warga emas; pesakit yang memerlukan bantuan komunikasi; pesakit kanak-kanak dan ibu di dalam proses bersalin," katanya pada sidang media Covid-19, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelawat atau penjaga yang dibenarkan untuk melawat dan menjaga pesakit mestilah berusia 18 tahun dan ke atas; lengkap vaksinasi Covid-19 dan tidak tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 (contoh: warga tua, mempunyai pelbagai komorbiditi atau sistem imuniti yang lemah).

"Pelawat atau penjaga juga tidak disyaki menghidap Covid-19 atau individu dalam pemantauan (PUS) dan tidak mempunyai gejala Covid-19.

"Mengisi borang deklarasi Covid-19 serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memakai alat pelindung diri (PPE) seperti yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, manakala bagi penjaga pula, mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 iaitu RT-PCR atau RTK Antigen (dalam masa 72 jam sebelum masuk ke hospital) dan disahkan negatif.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

"Individu yang ingin menemani ibu mengandung semasa proses bersalin hendaklah menjalani ujian saringan Covid-19 iaitu RT-PCR atau RTK Antigen (dalam masa 72 jam sebelum masuk ke hospital) atau RTK Antigen Saliva (semasa ketibaan di hospital) dan disahkan negatif.

"Bagi pesakit yang menerima rawatan pesakit luar atau Jabatan Kecemasan, hanya seorang penjaga sahaja dibenarkan. Sekiranya pesakit dimasukkan ke wad bukan Covid-19, seorang penjaga dibenarkan untuk menemani pesakit dan seorang pelawat dibenarkan sepanjang sesi lawatan," katanya,

Katanya, bagi pesakit bukan Covid-19 yang sedang tenat (end of life) dan berada di wad, lawatan keluarga adalah dibenarkan namun ia terhad kepada dua orang dalam satu-satu masa dan bergantung kepada keadaan.

"Tiada pelawat dibenarkan bagi pesakit Covid-19, kecuali bagi pesakit yang sedang tenat (end of life) sama ada pesakit di wad atau di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana seorang pelawat sahaja dibenarkan pada satu-satu masa.

"Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu di mana risiko penularan Covid-19 adalah tinggi seperti berlakunya wabak Covid-19 di hospital, pihak hospital boleh melakukan beberapa pengubahsuaian kepada polisi yang sedia ada bagi menjamin kesihatan dan keselamatan semua pihak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 6:13 PM