FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Kerajaan perlu mengambil serius 10 saranan 46 pakar kesihatan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di Malaysia sebelum ia menjadi lebih kritikal.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, dalam pada masa sama sokongan pihak swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut dituntut.

Katanya, dengan peningkatan kes baharu Covid-19 dalam negara ketika ini, mustahil kerajaan dapat menangani sendirian.

"Dalam saranan itu antaranya termasuk meningkatkan ujian pengesanan secara bersasar, meluas dan lebih kerap menggunakan Rapid Test Kid (RTK) Antigen yang lebih mudah, murah dan pantas daripada PCR.

"Hospital swasta juga boleh memberi harga lebih rendah supaya sasaran itu dapat dicapai.

"Apabila pengesanan dibuat, kita boleh mengasingkan mereka yang positif dengan negatif.

"Sekiranya pesakit diletakkan di rumah mereka untuk pengasingan. Pastikan pihak hospital memberi ubat yang bersesuaian dan pihak swasta juga boleh membantu membekalkan ubat kepada pesakit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam media melaporkan surat terbuka 46 pakar kesihatan kanan, persatuan perubatan dan bekas Ketua Pengarah Kesihatan itu mengemukakan 10 saranan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika negara masih diancam pandemik Covid-19.

Gesaan itu sebagai maklum balas dan cadangan yang perlu kerajaan laksanakan bagi melandaikan lengkuk penularan wabak itu.

Menurut surat itu, pandemik yang sedang mengancam negara ketika ini tidak harus dipolitikkan, sebaliknya satu jaminan melalui konsensus rentas parti perlu disegerakan bagi mempercepatkan usaha mencapai imuniti kelompok.

Antara saranan itu ialah penggunaan RTK Antigen juga perlu diperluaskan berbanding menggunakan Polymerase Chain Reaction (PCR) bagi mengurangkan jangkitan Covidd-19.

Turut disarankan penggunaan awal RTK Antigen terhadap kes dalam tempoh 24 jam membolehkan tindakan pantas diambil mengasingkan pesakit dan mengesan kontak rapat.

Pakar terbabit turut menyarankan pengesanan kontak rapat menggunakan aplikasi digital juga mampu mempercepatkan proses pengesanan selain memanfaatkan data sains serta mengenal pasti kawasan panas penularan bagi tujuan penyaringan

Dalam pada itu, Michael Tay turut menggesa majikan syarikat swasta membantu pihak berwajib mencari kontak pesakit Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka bagi mengekang penularan dalam komuniti.

Katanya, berkaitan pemberian vaksin, ia perlu disegerakan sebaik negara menerima bekalan untuk mengurangkan kadar keboleh jangkitan Covid-19,

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 5:35 PM