FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil langkah berjaga-jaga dengan mewajibkan saringan Covid-19 kepada peneman pesakit bagi mengelakkan jangkitan daripada komuniti menular di fasiliti kesihatan.

Pengarah Hospital USM, Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata, pihak pengurusan terpaksa membuat keputusan untuk memperketatkan polisi kebenaran kepada peneman pesakit berkuat kuasa 20 Julai lalu.

Menurutnya, ia berdasarkan penilaian situasi semasa jangkitan Covid-19 khususnya di Kelantan dan daerah Kota Bharu termasuk ancaman penyebaran varian Delta serta insiden terkini kes positif membabitkan peneman pesakit di hospital berkenaan.

"Sebarang penularan kes positif Covid-19 ke zon perawatan pesakit perlu dikawal dengan apa cara sekali pun kerana ia boleh menjejaskan fokus warga kerja hospital dan mampu merencatkan operasi perkhidmatan perubatan.

"Peneman hanya akan dibenarkan bagi kes-kes tidak berdaya fizikal (bed bound) sahaja berdasarkan kriteria tertentu yang diputuskan sama ada oleh petugas di Jabatan Kecemasan atau di wad berkenaan.

"Selain itu, peneman juga tidak dibenarkan bagi pesakit-pesakit di wad bersalin, Unit Rawatan Rapi (ICU), Wad Severe Acute Respiratory Illness (SARI) serta Wad COVID-19," katanya.

Beliau berkata, hanya seorang sahaja peneman dibenarkan untuk seseorang pesakit pada satu-satu masa.

"Peneman termasuk peneman gantian itu perlu melepasi saringan risiko serta memperoleh keputusan negatif terkini (dalam tempoh 72 jam) ujian RTK-Ag atau RT-PCR sahaja yang akan diberi kebenaran.

"Seseorang peneman perlu sepanjang masa berada dalam kawasan Hospital USM dan sekiranya didapati keluar, mereka hanya akan diberi kebenaran masuk semula selepas mengulangi saringan ujian RTK-Ag atau RT-PCR dengan keputusan negatif.

"Peneman yang ingin berada di Hospital USM boleh melakukan ujian RTK-Ag atau RT-PCR dengan pembiayaan sendiri," katanya.

Menurutnya, bagi kes-kes pesakit kritikal (nazak) atau meninggal dunia di wad pula, hanya dua orang waris terdekat yang dibenarkan masuk pada satu-satu masa.

Katanya, mereka perlu memperoleh keputusan negatif ujian RTK-Ag atau RT-PCR Covid-19 terlebih dahulu dan tempoh masa dibenarkan adalah 15 minit sahaja.

"Kejayaan mengawal jangkitan Covid-19 memerlukan kerjasama semua pihak dan sila jujur semasa melakukan saringan deklarasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 1:29 PM