GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membenarkan penjaga menemani pesakit di wad, selain menerima pelawat, berkuat kuasa 1 Mei ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, bagaimanapun kebenaran itu berdasarkan kepada kriteria tertentu.

Beliau berkata, tatacara pelaksanaan arahan itu adalah tertakluk kepada kapasiti dan kemampuan hospital serta wad masing-masing.

Katanya, dasar dan garis panduan yang diguna pakai dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan KKM semasa pandemik Covid-19 sentiasa disemak dan dikemaskini berdasarkan perkembangan terkini kejadian jangkitan wabak di dalam dan luar negara.

"Berdasarkan analisa trend terkini kes Covid-19 kategori 3, 4 dan 5 dan kadar penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes Covid-19 yang rendah, KKM meneliti semula dan mengemaskini dasar lawatan untuk penjaga dan pelawat di hospital.

"Langkah ini diambil selepas mengambil kira kepentingan sokongan psikososial terutama daripada ahli keluarga dalam membantu proses penyembuhan pesakit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, secara umum pelawat atau penjaga yang dibenarkan untuk melawat dan menemani pesakit perlu berusia 12 tahun dan ke atas; sudah dilengkapi vaksinasi Covid-19; serta tidak tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 seperti mempunyai pelbagai komorbiditi atau sistem imuniti yang lemah.

Beliau berkata, bagi penjaga kepada kategori pesakit tertentu yang perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri, ujian perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam sebelum ketibaan ke hospital dengan tarikh dan masa ujian berserta gambar dinyatakan sebagai bukti.

"Mereka juga tidak disyaki menghidapi Covid-19 atau individu dalam pemantauan (PUS) atau bergejala.

"Individu terbabit juga perlu mengisi borang deklarasi Covid-19 serta mematuhi SOP dan memakai alat pelindung diri (PPE) seperti yang ditetapkan," katanya.

Selain kriteria umum, KKM turut menetapkan kriteria khusus yang perlu dipatuhi mengikut kategori pesakit yang dilawati iaitu pesakit terbabit bukanlah pesakit Covid-19.

Beliau berkata, penjaga pesakit bukan Covid-19 yang berada di wad serta individu yang ingin menemani ibu hamil semasa proses bersalin, perlu menjalani ujian saringan Covid-19 iaitu RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif.

Katanya, lawatan daripada kalangan ahli keluarga kepada pesakit bukan Covid-19 yang berada sama ada di wad, unit rawatan rapi (ICU) atau sedang tenat juga dibenarkan, terhad kepada dua pelawat pada satu-satu masa.

Mereka juga digalakkan untuk menjalani ujian Covid-19 menggunakan RTK-Ag kendiri sebelum melawat.

Selain itu, KKM hanya membenarkan seorang penjaga sahaja bagi pesakit bukan Covid-19 yang menerima rawatan pesakit luar atau di jabatan kecemasan serta mereka digalakkan menjalani ujian Covid-19 menggunakan RTK-Ag kendiri sebelum hadir ke fasiliti kesihatan.

Katanya, KKM hanya membenarkan penjaga untuk pesakit Covid-19 yang memerlukan penjagaan khusus dan pesakit kanak-kanak sahaja.

"Bagi tujuan itu, penjaga perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif. Ujian RTK-Ag kendiri perlu diulang sekiranya penjaga bergejala dan sebelum pulang ke rumah.

"Tiada pelawat dibenarkan bagi pesakit Covid-19, kecuali bagi pesakit yang sedang tenat sama ada di wad atau ICU dengan kebenaran hanya dua pelawat sahaja pada satu-satu masa dan ujian Covid-19 menggunakan RTK-Ag kendiri adalah digalakkan sebelum lawatan.

"KKM ingin menekankan dalam keadaan tertentu iaitu risiko penularan Covid-19 adalah tinggi seperti berlakunya wabak Covid-19 di hospital, pihak hospital boleh melakukan beberapa pengubahsuaian kepada dasar yang sedia ada bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 7:12 PM