Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 261 kes baharu membabitkan jangkitan varian membimbangkan (VOC).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 259 kes membabitkan varian Delta (B.1.617.2) dan dua kes lagi adalah varian Beta (B.1.351).

Menurutnya, varian itu dikesan hasil kajian berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Fakulti Perubatan Universiti Malaya (FOM-UM), Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Institut Genom Malaysia (MGI) dan Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC).

"FOM-UM mengenal pasti 72 kes yang kesemuanya adalah varian Delta, manakala IMR mengenal pasti 55 kes yang kesemuanya varian Delta, iPROMISE-UiTM (46 kes varian Delta, MGI (46 kes iaitu 45 kes varian Delta dan satu kes varian Beta) dan TIDREC-UM (42 kes iaitu 41 kes varian Delta dan satu kes varian Beta).

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 2,645 kes.

"Daripada jumlah itu, 2,625 kes adalah VOC, manakala 20 kes adalah VOI," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhan kes VOC sehingga kini adalah 2,385 kes varian Delta, 226 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.

Menurutnya, bagi kes VOI terdapat sebanyak 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 6:25 PM