Foto hiasan
Foto hiasan
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 186 kes positif baharu membabitkan varian membimbangkan (VOC) Omicron (B.1.1.529).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, varian itu dikesan hasil kajian berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Fakulti Perubatan Universiti Malaya (FOM- UM), Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Institut Genom Malaysia (MGI) dan Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC).

"iPROMISE-UiTM mengenal pasti 46 kes baharu, TIDREC-UM (43 kes), MGI (43 kes), IMR (28 kes) dan IHCM-UNIMAS mengesan 26 kes baharu.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 6,432 kes.

"Daripada jumlah yang dikesan ini, 6,412 kes adalah VOC, manakala 20 kes adalah VOI," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, secara keseluruhan sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 5,726 kes varian Delta, 439 kes varian Omicron, 233 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.

"Bagi kes VOI, sebanyak 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 7:24 PM