Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan tambahan 475 kes Covid-19 membabitkan varian membimbangkan (VOC) yang kesemuanya varian Delta (B.1.617.2) dan varian Beta (B.1.351).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 472 kes dikesan membabitkan varian Delta, manakala tiga lagi adalah kes varian Beta.

Menurutnya, varian itu dikesan hasil kajian berterusan dilakukan Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Institut Genom Malaysia (MGI) dan Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Katanya, turut terbabit kajian itu adalah Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI) dan Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC).

"IHCM-UNIMAS mengenal pasti sebanyak 302 kes yang kesemuanya adalah VOC varian Delta, manakala MGI mengesan 63 kes iaitu 61 kes varian Delta dan dua kes varian Beta.

"iPROMISE-UiTM pula mengenal pasti sebanyak 48 kes iaitu 47 kes varian Delta dan satu kes varian Beta. IMR mengesan 37 kes, UMBI-UKM (18 kes) dan TIDREC-UM (tujuh kes) yang kesemuanya adalah varian Delta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kumulatif kes yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 1,860 kes.

Beliau berkata, daripada jumlah yang dikesan itu, 1,840 kes adalah VOC, manakala 20 kes adalah VOI.

Secara keseluruhan, katanya, sehingga kini terdapat 1,612 kes varian Delta, 214 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha yang berada dalam kategori VOC, manakala bagi VOI terdapat sebanyak 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 7:46 PM