Foto hiasan
Foto hiasan
Ilah Hafiz Aziz

Kuala Lumpur: Dasar Kebudayaan Negara 2021 (Daken 2021) bakal dijadikan panduan dan rujukan dalam merencana segenap pembangunan seni, budaya dan warisan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan menjadi entiti penting dalam konsep Keluarga Malaysia.

Menurutnya, Daken 2021 adalah dokumen yang holistik dan inisiatif itu seiring untuk menjadikan sektor itu sebagai pemangkin sosio-ekonomi Keluarga Malaysia.

"Daken 2021 turut menggariskan hala tuju Malaysia menjadi 'Negara Maju Rakyat Berbudaya' dan digubal berlandaskan lima prinsip dalam Keluarga Malaysia.

"Dasar dilancarkan ini menjadi entiti penting dalam konsep Keluarga Malaysia yang menekankan nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran," katanya ketika melancarkan Daken 2021, malam ini.

Perdana Menteri berkata, seluruh strategi dan pelan tindakan Daken 2021 memiliki tujuh teras iaitu budaya nilai tinggi; keharmonian masyarakat; dan pemeliharaan serta pemuliharaan warisan budaya.

"Teras lain adalah pembangunan dan pengembangan budaya; pemerkasaan budaya; penjanaan ekonomi kebudayaan; dan kecemerlangan budaya," katanya.

Ismail Sabri berkata, setiap teras itu akan tersulam pembangunan modal insan secara konsisten.

"Selain pendidikan seni, budaya dan warisan secara formal, dasar ini turut menerapkan pendidikan tidak formal sebagai usaha melahirkan pelapis kepada penggiat seni, budaya dan warisan sedia ada," katanya.

Perdana Menteri berkata, Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang bermula sejak 1971 dijadikan panduan dalam membentuk dan mengekalkan identiti negara Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.

Katanya, negara turut melaksanakan pelbagai inisiatif terhadap seni, budaya dan warisan negara berorientasikan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang membentuk kebudayaan kebangsaan dan melahirkan bangsa Malaysia bersatu padu.

"Hasilnya, sepanjang tempoh 50 tahun lalu, pelbagai pencapaian dalam arena seni, budaya dan warisan dicatat.

"Antaranya ialah penubuhan Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu pada 1983, pembinaan Istana Budaya (1999), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada 1994.

"Pada 2000 pula, Muzium Etnologi Dunia Melayu ditubuhkan. Ia diiringi pembentukan Jawatankuasa Penasihat Program Kebudayaan bagi Unesco dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara pada 2005," katanya.

Katanya, dalam alaf baharu ini, pembabitan Malaysia dalam sektor ini kian bertambah melalui keanggotaan dalam pertubuhan serantau dan antarabangsa termasuk kolaborasi bersama Asean dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Kesemua usaha ini bertujuan memperkasakan budaya negara. Inilah prinsip tersemai sejak lama bagi pembinaan bangsa dan ketahanan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 9:16 PM