Mak Yong Kijang Emas dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri Kelantan memelihara khazanah seni tradisional yang mempunyai keunikan tersendiri dan semakin dikenali di persada antarabangsa.
Mak Yong Kijang Emas dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri Kelantan memelihara khazanah seni tradisional yang mempunyai keunikan tersendiri dan semakin dikenali di persada antarabangsa.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dikir barat, Mak Yong, Opera Cina, Tarian Ngajat dan Tarian Bharathanatyam adalah antara khazanah seni tradisional negara yang mempunyai keunikan tersendiri dan semakin dikenali di persada antarabangsa.

Anggun juga warisan ini kerana ia semakin menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk individu dan agensi kerajaan untuk menjadikannya tunjang memperkukuhkan lagi perpaduan kaum yang sedia terjalin hampir 65 tahun.

Penari dan koreografer tarian klasik India negara yang tersohor, Datuk Ramli Ibrahim dan pemain biola terkenal Endang Hyder yang berkemahiran memainkan alat muzik tradisional Cina dikenali Erhu antara sebahagian nama mengukir kejayaan menerusi kesenian bangsa lain.

Keunikan ini menjadi prinsip asas penubuhan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sebagai institusi pemupukan dan penyemaian kepelbagaian seni dan kebudayaan Malaysia.

Rain Forest World Music Festival (RWMF 2022) mempunyai peminat dari seluruh dunia untuk merasai keunikan khazanah seni negara.
Rain Forest World Music Festival (RWMF 2022) mempunyai peminat dari seluruh dunia untuk merasai keunikan khazanah seni negara.

Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Aswara, Tujeri Shah Abdul Razak, pelajar Akademi berkenaan yang terdiri daripada pelbagai kaum serta etnik merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak boleh diibaratkan sebagai 'pemangkin integrasi nasional'.

Ini memandangkan mereka daripada latar belakang yang berbeza namun mereka disatukan melalui kesedaran murni terhadap keunggulan seni dan budaya diwarisi.

"Apa yang boleh saya katakan, pelajar menyertai Aswara daripada pelbagai latar belakang. Mereka bukan saja berlainan daripada segi kaum dan agama tetapi latar belakang pendidikan.

"Pelajar Akademi ini juga dari kalangan etnik Sabah dan Sarawak termasuk Iban dan Kadazan. Mereka disatukan menerusi kesedaran serta kecintaan terhadap warisan seni, budaya negara kita,'' katanya.

Ditubuhkan pada 1994, Aswara satu-satunya institusi pengajian tinggi dalam bidang persembahan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) yang menyediakan ruang pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan akademik serta khidmat nasihat profesional dalam bidang seni, budaya serta warisan negara.

Institusi ini menawarkan beberapa program berkaitan seni kebudayaan pelbagai kaum merangkumi muzik, tarian, teater, penulisan kreatif dan filem serta animasi dan multimedia bermula daripada peringkat sijil sehingga Doktor Falsafah (PhD).

Mengulas lanjut, Tujeri Shah berkata, Aswara mendedahkan masyarakat terutama golongan muda mengenai seni dan budaya negara yang bukan sekadar terbatas kepada persembahan dan hiburan semata-mata malahan lebih daripada itu.

''Sebagai contoh, apabila Aswara menjadikan Mak Yong dan Wayang Kulit sebagai subjek teras perlu diambil semua pelajar, mereka tidak hanya belajar seni persembahan tetapi ditekankan adab, tertib dan sifat hormat seni berkenaan.

Persembahan unik opera Cina dengan pakaian tradisional memiliki keunikan tersendiri dan semakin dikenali di persada antarabangsa.
Persembahan unik opera Cina dengan pakaian tradisional memiliki keunikan tersendiri dan semakin dikenali di persada antarabangsa.

"Semangat perpaduan serta kesatuan turut disemai dalam menterjemahkan persembahan seni berkenaan," katanya.

Aswara turut mendedahkan pelajar dengan seni silang budaya bagi meraikan perbezaan dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Seperti dijelaskan Tujeri Shah, pendekatan merangkumi tarian dan penggunaan pelbagai instrumen yang berindentitikan kaum dan etnik di negara ini.

"Majoriti pelajar Aswara dalam kalangan lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang mempunyai bakat kesenian dan kita cuba kembangkan lagi bakat mereka agar tidak hanya terhad kepada seni tertentu sahaja.

"Seperti mana Mak Yong dan Wayang Kulit, kita perkenalkan tarian klasik India sebagai subjek teras dan menariknya pelajar Melayu mahir dengan tarian ini dan tidak kekok (menari) seperti Tarian Bharatanatyam, meskipun mereka tidak diberi pendedahan tarian tersebut sebelum ini,'' katanya.

Menurut beliau, persembahan pergendangan iaitu paluan muzik daripada pelbagai jenis gendang tradisional juga turut menonjolkan bakat pelajar Aswara.

Mak Yong Titis Sakti juga antara khazanah seni tradisional yang mempunyai keunikan tersendiri dan semakin dikenali di persada antarabangsa.
Mak Yong Titis Sakti juga antara khazanah seni tradisional yang mempunyai keunikan tersendiri dan semakin dikenali di persada antarabangsa.

"Sewaktu Program Berjalan Teguh Bersama bersempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 baru-baru ini bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelajar kita memeriahkan program dengan persembahan pergendangan.

"Seramai 15 orang pelajar Aswara membuat persembahan pergendangan dengan paluan gendang pelbagai kaum berkonsepkan Keluarga Malaysia,'' katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesenian dan kebudayaan negara perlu terus diperkasakan agar ia tidak ditelan zaman.

Mengambil contoh Mak Yong iaitu seni warisan tertua dari Negeri Kelantan dan turut diiktiraf Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sebagai Karya Agung Warisan Tidak Ketara, Tujeri Shah berkata, karya seni itu perlu dipelihara.

"Sebab itu, di Aswara kita bukukan segala karya seni tradisional bahkan tenaga pengajar kita dalam kalangan pakar," katanya.

Dikir Barat antara khazanah seni tradisional yang mempunyai keunikan tersendiri dan semakin dikenali di persada antarabangsa.
Dikir Barat antara khazanah seni tradisional yang mempunyai keunikan tersendiri dan semakin dikenali di persada antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 7:01 AM