NANCY melihat kraftangan dihasilkan pereka kraftangan tempatan selepas Majlis Perasmian Galeri Evolusi dan Muzium Adat Istiadat Perkahwinan di Kompleks Kraf Langkawi, Langkawi. FOTO Aizuddin Saad
NANCY melihat kraftangan dihasilkan pereka kraftangan tempatan selepas Majlis Perasmian Galeri Evolusi dan Muzium Adat Istiadat Perkahwinan di Kompleks Kraf Langkawi, Langkawi. FOTO Aizuddin Saad
Nor 'Asyikin Mat Hayin


Langkawi: Pendapatan pengusaha kraf meningkat sebanyak RM17.9 juta melalui insentif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurut Nancy, insentif berkenaan dalam bentuk rebat pembelian kraf sebanyak RM3.8 juta.

Beliau berkata, selain itu, melalui Kraftangan Malaysia, insentif Pemulih Industri Kraf berupa bantuan tunai RM1,500 turut disalurkan kepada usahawan kraf yang terjejas di Langkawi.

"Sepuluh wakil usahawan kraf dari sekitar Langkawi menerima pemberian insentif ini. Bantuan pemberian ini dapat membantu memulihkan perniagaan usahawan kraf yang terkesan akibat Covid-19 dan merancakkan kembali industri kraf negara.

"Kementerian akan sentiasa menyokong perusahaan kraf yang dijalankan dan pembabitan usahawan serta komuniti kraf dalam industri agar terus berkembang sekali gus berjaya memasarkan produk sama ada secara fizikal mahupun visual melalui Mycraftshoppe, secara berterusan," katanya ketika berucap merasmikan Galeri Evolusi Kraf dan pembukaan semula Muzium Adat Istiadat serta Perkahwinan di Kompleks Kraf Langkawi di sini, hari ini.

Beliau berkata, Galeri Evolusi Kraf dan Muzium Adat Istiadat serta Perkahwinan akan menjadi komponen tambahan untuk tarikan pelancong ke Kompleks Kraf Langkawi.

Nancy berkata, pembukaan dua entiti ini, selari dengan Dasar Kebudayaan Negara (Daken) 2021, Pemeliharaan dan Pemuliharaan Warisan Budaya juga Teras Keempat iaitu Pembangunan dan Pengembangan Budaya.

"Ia bermatlamat melestarikan kebudayaan melalui agenda pemeliharaan, pemuliharaan dan perlindungan khazanah warisan negara.

"Kraftangan Malaysia berjaya mengadaptasi teras ini dengan memberi tumpuan kepada usaha memelihara dan memperkukuh pengekalan seni kraf.

"Ini bagi mengelakkan kepupusan dan menjadikan kraf warisan sebagai khazanah bernilai tinggi serta warisan lestari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 5:10 PM