Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mengenal pasti tujuh teras utama di bawah Dasar Kebudayaan Negara (Daken) 2021 yang bakal dilancarkan Perdana Menteri pada 26 Oktober ini.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, teras yang digariskan itu adalah budaya nilai tinggi, keharmonian masyarakat, pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya.

Menurutnya, antara lain pembangunan dan pengembangan budaya, pemerkasaan budaya, penjanaan ekonomi kebudayaan serta kecemerlangan budaya.

"Daken yang dibina mengambil kira prinsip Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971 itu bakal memacu usaha ke arah merealisasikan visi untuk menjadikan Malaysia negara maju dengan kekayaan budaya oleh rakyatnya selain melestarikan agenda pemeliharaan dan pemuliharaan seni serta warisan negara.

"Selain itu, dokumen Daken ini akan menjadi punca kuasa dan rujukan kepada hal ehwal kebudayaan pada masa depan merangkumi aspek kesenian, kebudayaan serta warisan.

"Ia juga menjadi asas kepada usaha pengukuhan jati diri dan pembinaan negara bangsa," katanya dalam taklimat media mengenai Daken 2021 di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Motac Datuk Wira Dr Noor Zari Hamat.

NANCY (kiri) bersama Dr Noor Zari ketika taklimat media sempena Majlis Pelancaran Daken 2021. FOTO Hairul Anuar Rahim
NANCY (kiri) bersama Dr Noor Zari ketika taklimat media sempena Majlis Pelancaran Daken 2021. FOTO Hairul Anuar Rahim

Mengulas lanjut, Nancy berkata, dasar berkenaan juga menjadi panduan bagi memperkasa dan meningkatkan pemahaman, penghayatan, kecintaan serta pengamalan budaya dalam aspek kehidupan.

Katanya, dasar itu perlu didukung oleh semua pihak supaya aspek seni, budaya dan warisan negara terus terpelihara.

Mengenai majlis pelancaran Daken 2021, beliau berkata, ia akan dilancarkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam yang turut disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook Motac.

Katanya, majlis berkenaan bakal terpahat dalam lipatan sejarah negara apabila julung kali Malaysia melancarkan dasar kebudayaan secara rasmi selepas 50 tahun.

Terdahulu, Daken diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 April lalu yang digubal bertujuan memantapkan sektor kebudayaan dari segi pembangunan, tadbir urus budaya, modal insan, pengkaryaan dan usaha menjana ekonomi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 5:06 PM