PKRC
PKRC
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Al-Farabi, di sini, ditutup mulai hari ini berikutan kes jangkitan Covid-19 yang semakin menurun di Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata hanya dua PKRC masih dibuka iaitu di Dewan Wawasan, Jitra dan dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) Kulim.

Katanya, penutupan itu mampu menjimatkan penggunaan tenaga kerja yang boleh ditumpukan kepada tugasan lain dalam sektor kesihatan di negeri ini.

"PKRC Dewan Wawasan sudah dinaik taraf dan boleh menempatkan hingga 400 pesakit dan dilengkapi kelengkapan terbaik termasuk peralatan oksigen, jadi pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat boleh dihantar ke sana, manakala kategori lima dibawa ke hospital.

"Penutupan PKRC ini boleh dianggap sebagai suatu kejayaan, seiring kurangnya kes di Kedah kebelakangan ini.

"Kes sekarang banyak dipantau dari rumah melalui Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) kerana keadaan mereka tidak serius ," katanya ketika dihubungi, hari ini.

PKRC Dewan Al Farabi Alor Setar beroperasi sejak empat bulan lalu dan menerima pesakit pertama pada 8 Jun lalu.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberhentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19 bagi pelancong ke Langkawi, Dr Mohd Hayati berkata, ujian saringan itu tidak berbaloi dilakukan berikutan kes positif sangat sedikit membabitkan pelancong sebelum tiba ke pulau itu.

"Selepas melakukan ujian saringan Covid-19 kepada lebih 54,000 pelancong di tempat berlepas, hanya 0.4 peratus kes sahaja positif, maknanya tak berbaloi dengan kos membuat ujian berkenaan.

"Banyak kes berlaku akibat jangkitan tempatan iaitu orang Langkawi sendiri, jadi pelancong digalakkan untuk melakukan ujian kendiri sebelum memulakan perjalanan," katanya.

Bagaimanapun, beliau tetap menasihatkan pelancong dan penduduk Langkawi terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan untuk mengelak penularan Covid-19.

Selasa lalu, media melaporkan KKM memutuskan untuk menghentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19 bagi pelancong ke Langkawi berkuat kuasa serta-merta selepas mengambil kira peratus dikesan positif semasa saringan sangat rendah.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun sebagai langkah mengukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri, pelancong digalakkan untuk melakukan ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan ke pulau peranginan itu bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada pelancong lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 3:14 PM