GAMBAR hiasan. Kakitangan membantu di pusat kuarantin dan PKRC di Kuching, Julai lalu. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Kakitangan membantu di pusat kuarantin dan PKRC di Kuching, Julai lalu. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Empat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam baharu akan dibuka jika kes positif Covid-19 di Sarawak terus meningkat.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, selain itu enam PKRC awam sedia ada dijangka beroperasi semula bagi menampung keperluan.

Beliau berkata, 45 PKRC dibuka di seluruh Sarawak dengan 41 daripadanya PKRC awam yang berkapasiti 7,465 katil dan empat PKRC Tahanan yang berkapasiti 1,072 katil.

"PKRC dibuka untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dengan keutamaan terhadap pesakit berisiko tinggi seperti golongan yang mempunyai komorbid," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Dr Mohamed Sapian berkata, kadar penggunaan katil bagi kes rawatan kritikal di Sarawak menunjukkan peningkatan bulan ini.

"Namun ianya masih pada tahap di mana pihak hospital masih berupaya untuk menguruskannya," katanya.

Sarawak mencatat peningkatan mendadak jangkitan harian Covid-19 dengan lebih 1,000 kes sehari direkodkan dalam tempoh 12 hari berturut-turut sejak 18 Ogos lalu.

Semalam, 2,522 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Sarawak, menjadikan kumulatif kes adalah sebanyak 112,245 kes.

Menurutnya lagi, ketika ini 781 orang petugas kesihatan digerakkan untuk bertugas di semua PKRC di Sarawak dan pertambahan kes baharu Covid-19 akan memerlukan lebih ramai petugas diperlukan.

"Jika kes masih banyak dan meningkat setiap hari, penggunaan sumber tenaga dan perkhidmatan kesihatan mungkin akan lumpuh dan mengakibatkan tindakan intervensi seperti pengasingan pesakit dan pengesanan kontak akan terjejas teruk.

"Apabila jumlah kes harian bertambah, bilangan kontak rapat yang terdedah dan yang perlu disaring akan turut bertambah, sekali gus akan membebankan makmal dalam membuat ujian saringan dan seterusnya memanjangkan tempoh masa diperlukan untuk memperolehi keputusan ujian yang akhirnya akan mengakibatkan tindakan kawalan awal sukar untuk dilaksanakan disebabkan keputusan yang lewat diterima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 11:06 AM