GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Orang ramai tidak perlu panik dengan isu tular di laman sosial mengenai bas membawa pesakit Covid-19 dari Cameron Highlands ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia hanya membabitkan prosedur biasa pemindahan pesakit positif ke PKRC dan wabak itu adalah terkawal.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, kejadian berlaku pada 9 November lalu dan hanya sembilan pesakit positif Covid-19 dibawa menggunakan bas pada tarikh itu.

"Ia merangkumi masing-masing dua kes ke PKRC Maran dan PKRC Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan lima kes ke PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM).

"Sembilan pesakit itu perlu dimasukkan ke PKRC kerana situasi rumah kurang sesuai untuk menjalani kuarantin kendiri serta pesakit ini terdiri daripada kanak-kanak dan pesakit komorbid," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan isu tular di laman sosial melalui berita bertajuk 'Pengunjung Terkandas 'Seram', Kecoh Bas Bawa Pesakit Covid-19 dari Cameron Highlands' hingga mendapat perhatian.

Menurutnya, sebagai makluman, setakat ini Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Cameron Highlands tidak menerima sebarang notifikasi kes positif Covid-19 dalam kalangan pelancong untuk tujuan pengesanan kontak.

"Notifikasi untuk tindakan pengesanan kontak diterima setakat ini membabitkan kontak keluarga dan bukannya pelancong.

"Sehingga hari ini, kes aktif di daerah Cameron Highlands sebanyak 77 kes membabitkan 17 kes import dan selebihnya adalah kes tempatan.

"Status Covid-19 di Cameron Highlands adalah terkawal dengan dua mukim berstatus jingga (Tanah Rata dan Ulu Telom) dan satu mukim berstatus kuning (Ringlet)," katanya.

Bagi memastikan keselamatan, beliau meminta masyarakat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan walaupun lengkap dos vaksinasi serta dibolehkan untuk bersosial seperti melancong dan merentas negeri.

Menurutnya, kita belum menang lagi, namun dengan usaha dan

komitmen tinggi, kita akan menang dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 6:53 PM