M Hifzuddin Ikhsan


Langkawi: Keputusan kerajaan mewajibkan pelancong menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum dibenarkan masuk ke pulau peranginan ini dibuat bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu diambil bagi mengelak berlakunya jangkitan dan peningkatan kes Covid-19 di pulau itu disebabkan kehadiran pelancong.

Jelasnya, jika keadaan itu berlaku, terdapat kemungkinan tindakan drastik termasuk menutup kembali Langkawi kepada pelancong terpaksa diambil kerajaan bagi mengekang penularan.

"Hari ini (semalam), Kementerian Kesihatan (KKM) meminta ujian saringan dibuat ke atas pelancong sebelum ke Langkawi, walaupun ia agak mengelirukan orang ramai, tetapi ia dibuat dengan niat baik.

"Dalam mesyuarat sebelum ini, kita putuskan ujian saringan tidak perlu kerana hanya individu lengkap dua dos dibenarkan ke Langkawi, tetapi mereka sebenarnya masih boleh dijangkiti," katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Pelancaran Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC).

Hadir sama Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib.

TEMPAT ujian saringan kendiri Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi menerima pengunjung ke Langkawi mulai hari ini. FOTO BERNAMA
TEMPAT ujian saringan kendiri Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi menerima pengunjung ke Langkawi mulai hari ini. FOTO BERNAMA

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan semalam, memaklumkan pelancong yang akan ke Langkawi bermula hari ini perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

Khairy berkata, ujian saringan mesti dilakukan oleh individu dewasa berumur 18 tahun ke atas dan kanak-kanak serta remaja berusia antara tujuh hingga 17 tahun.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, tempoh dua minggu projek rintis di Langkawi ini adalah penting kerana ia bakal menentukan keputusan dalam pembukaan lebih banyak destinasi pelancongan tempatan lain.

"Dalam tempoh dua minggu ini kita akan memantau jika berlaku peningkatan kes Covid-19 di Langkawi dan ia akan dijadikan tanda aras bagi menentukan sama ada destinasi pelancongan lain dapat dibuka.

"Kita harap tidak ada kes serius berlaku dalam kalangan pelancong dan penduduk tempatan sepanjang tempoh berkenaan bagi membolehkan ekonomi Langkawi kembali pulih," katanya.

Sementara itu, Sanusi berkata, pelancong yang masuk ke Langkawi esok, tidak perlu bimbang kerana ujian pengesanan akan dibuat secara percuma di lapangan terbang dan terminal feri.

Bagaimanapun, pihaknya belum menentukan sama ada ujian pengesanan secara percuma itu akan diteruskan kerana ia membabitkan kos yang perlu diserap KKM.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 8:15 AM