GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pesakit Covid-19 di Kedah tidak dirujuk ke hospital negeri lain, berikutan hospital di negeri ini masih mampu menampung jumlah pesakit meskipun kes harian semakin meningkat.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo berkata, katil di semua hospital kerajaan seluruh negeri itu masih mencukupi bagi keperluan pesakit Covid-19 mendapat rawatan ketika ini.

"Jadi waris pesakit tidak perlu bimbang kerana tiada pesakit yang menerima rawatan di hospital negeri ini dirujuk ke hospital negeri lain.

"Setakat ini kita masih mampu menempatkan pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima yang memerlukan rawatan di hospital," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Kedah mencatatkan kes ketiga tertinggi selepas Selangor dan Kuala Lumpur iaitu sebanyak 1,216 kes, manakala hari ini 1,160 kes.

Dr Othman berkata, bagi menampung kes yang semakin tinggi, pihaknya akan membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Dewan Wawasan, Jitra dalam masa terdekat.

"PKRC itu mampu menampung sehingga 200 katil selain mempunyai kelengkapan peralatan yang diperlukan bagi merawat pesakit.

"Selain itu sebuah PKRC dijangka dibuka di Langkawi dan akan menjadikan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani sebagai hospital Covid-19 sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 5:58 PM