GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Penggunaan katil di semua hospital untuk merawat pesakit Covid-19 di Kedah adalah sangat tinggi iaitu sudah mencapai 95 peratus.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Othman Warijo berkata, berikutan itu, keutamaan pesakit untuk dimasukkan ke wad hanya dikhususkan kepada kategori empat dan lima saja.

"Bagi pesakit Covid-19 kategori lain yang perlukan rawatan di wad akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

"Bekalan oksigen di wad pada masa ini mencukupi, selain mesin oksigen hanya digunakan sementara menunggu masuk wad," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Othman berkata, bagi menampung kes yang semakin tinggi, pihaknya akan membuka PKRC di Dewan Wawasan, Jitra pada awal Ogos ini.

Katanya, PKRC itu mampu menampung sehingga 200 katil selain mempunyai kelengkapan peralatan yang diperlukan bagi merawat pesakit.

"PKRC Dewan Wawasan serta PKRC Dewan Al Farabi, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kedah di sini turut mampu menampung pesakit Covid-19 pada kategori empat.

"Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani pula akan dijadikan sebagai hospital Covid-19 sepenuhnya dan kita sedang dalam persiapan terakhir untuk tujuan itu," katanya.

Dalam masa sama, Dr Othman turut menasihatkan orang ramai agar duduk di rumah dan hanya keluar sekiranya perlu berikutan kes semakin meningkat di Kedah.

Katanya, orang ramai diminta menggunakan teknologi untuk berinteraksi bagi mengekang penularan Covid-19.

"Elakkan 3S, iaitu kawasan sesak dan sempit serta berbual pada jarak dekat, masyarakat juga perlu mengamalkan konsep 3W, iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun; memakai pelitup muka serta mematuhi amaran Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 6:03 PM