DZULKAFLI (tengah) mengagihkan sumbangan pada Program Pandu Lalu Sumbangan Kasih 1 Divisyen Bersama YaPEIM di Masjid Solahuddin al Ayyubi, Kem Penrissen, Kuching. FOTO Mohd Roji Kawi
DZULKAFLI (tengah) mengagihkan sumbangan pada Program Pandu Lalu Sumbangan Kasih 1 Divisyen Bersama YaPEIM di Masjid Solahuddin al Ayyubi, Kem Penrissen, Kuching. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

Kuching: Tentera Darat Malaysia (TDM) akan membina pos kawalan di Merapok, Lawas bagi mengawal kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negeri ini melalui Sabah.

Panglima 1 Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa berkata, ia adalah pos kawalan pertama diwujudkan di sempadan Sarawak dan Sabah kerana semua pos sedia ada sebelum ini dibina di sempadan antarabangsa.

Menurutnya, langkah itu diambil berikutan ramai Pati yang menyusup masuk ke negeri ini dari Sabah melalui jalan tikus di sekitar Merapok.

"Pos kawalan itu akan diwujudkan susulan permintaan kerajaan Sarawak yang mahu kawalan lebih ketat dilaksanakan bukan sahaja di sempadan antarabangsa, tetapi juga di sempadan antara negeri.

"Kini kita masih dalam fasa perbincangan dengan kerajaan negeri khususnya bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, bagi mendapatkan tapak sesuai untuk dijadikan lokasi pos kawalan itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Pandu Lalu Sumbangan Kasih 1 Divisyen Bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Masjid Solahuddin al Ayyubi, Kem Penrissen, di sini, hari ini.

Menurutnya, apabila tapak sudah dikenal pasti, pembinaan pos kawalan antara negeri itu dijangka dimulakan awal tahun depan.

Mengenai empat pos kawalan baharu di sempadan Malaysia-Indonesia, Dzulkafli berkata, pembinaannya berjalan lancar dengan kira-kira 20 peratus siap.

Empat pos kawalan itu ialah Pos Padang Pan di Bahagian Kuching, Pos Sungai Paoh di Bahagian Serian, Pos Batu Kaya di Bahagian Sri Aman dan Pos Tapak Megah di Bahagian Kapit.

Sementara itu, mengenai program Sumbangan Kasih 1 Divisyen bersama YaPIEM, Dzulkafli berkata, sebanyak 500 keluarga anggota tentera menerima sumbangan berupa makanan asas serta daging sejuk beku.

"Program ini diadakan kerana ada anggota kita yang terkesan akibat Covid-19 terutamanya mereka yang terpaksa menjalani perintah kuarantin di dalam kem," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 12:29 PM